comscore
Tumpuan :
Nasional

Petani parah, senapang buatan sendiri meletup ketika memburu

KENINGAU: Seorang petani parah selepas senapang buatan sendiri jenis bakakuk meletup dan terkena tangan kiri serta dadanya ketika memburu di kawasan kebun Kampung Panganitan, Nabawan, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Keningau, Superintendan Yampil Anak Garai, berkata mangsa parah putus empat jari tangan kirinya, patah tulang rusuk kiri dan satu anak peluru masih berada di tulang rusuk manakala tiga biji berada di lengan kirinya.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati mangsa berusia 28 tahun dikatakan, keluar seorang diri untuk memburu di kebun Kampung Panganitan dan membawa senapang bakakuk.

“Lokasi kejadian cuma berjarak kira-kira tiga kilometer dari kampungnya. Ketika berjalan menuruni kawasan cerun bukit, lelaki itu tergelincir dan menyebabkan picu bakakuk meletup dan mengenai tangan kiri serta dadanya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurut Yampil, abang kandung lelaki itu yang bimbang adiknya belum pulang ke rumah sejak keluar memburu, mengambil keputusan keluar mencarinya di kawasan hutan.

“Abangnya menemui mangsa dalam keadaan lemah dan bertindak membawanya ke Klinik Kesihatan Nabawan untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Keadaan mangsa stabil dan masih menerima rawatan di Hospital Keningau untuk pemantauan rapi,” katanya.

Katanya, susulan kejadian itu, polis merampas satu laras senapang buatan sendiri jenis bakakuk beserta kelongsong peluru tabur dalam chamber.

“Turut dirampas sebutir kelongsong peluru tabur warna hitam. Siasatan mendapati senapang bakakuk itu diwariskan oleh neneknya sejak dua tahun lalu, bagi menjaga kawasan kebun mereka daripada serangan babi hutan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini