comscore
Tumpuan :
Nasional

Petani koko diminta tidak beralih kepada tanaman lain

Datuk Seri Johari Abdul Ghani ditemui media selepas merasmikan hari terbuka Lembaga Koko Malaysia di Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Koko, Sungai Sumun, Bagan Datuk.

Oleh: Siti Khadijah Jaafar.

BAGAN DATUK: Kementerian Perladangan dan Komoditi berhasrat mengurangkan kebergantungan terhadap import koko dalam tempoh 10 hingga 15 tahun akan datang.

Menterinya, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, ketika ini negara terpaksa mengimport hampir 530 ribu metrik tan koko dengan nilai mencecah RM7.8 bilion ringgit.

“Pada tahun lalu negara hanya menghasilkan 270 tan biji koko. Kita terpaksa import kerana untuk kegunaan dalam negara dan juga produk yang kita buat dalam negara ini”

“Dulu kita pernah mengeluarkan hampir 300 ribu metrik tan dan hari ni kita hanya keluarkan 270 tan banyak dia punya kekurangan ini kerana kita berdepan dengan banyak masalah penyakit yang melibatkan koko ni. Maka hari ni banyak penyakit ini kita berikan penumpuan dan saya difahamkan Lembaga Koko Malaysia, LKM juga telah dapat mengatasi banyak penyakit bersangkut paut dengan koko ini”, katanya.

Menurut Johari, sekiranya kebergantungan terhadap import koko dapat dikurangkan, perbelanjaan itu dapat digunakan bagi membantu pekebun kecil tempatan sekaligus merancakkan kembali imdustri itu.

Bagi memperkasakan tanaman koko, petani terlibat turut diseru supaya tidak beralih kepada tanaman lain, sebaliknya memberi tumpuan kepada tanaman koko yang diyakini mampu memberi pulangan lumayan.

“Kita nak mengelakkan mana-mana pekebun kecil yang sedang mengusahakan ladang koko ini supaya tidak menukar kepada tanaman lain kita nak menekankan bahawa potensi koko ni sangat besar”.

“Kita nak galakkan orang menanam pokok koko ni kerana harga koko dia sangat tinggi dia pernah mencecah sampai RM30,000 per tan kalau dibanding dengan kos cuma lebih kurang dalam RM8,400. Hari ini dia around dalam 24,000 lebih satu tan jadi ini adalah sangat kalau tengok dia punya kos nilai yang kita boleh jual ini marginya hampir 66%,” tambahnya.

Beliau ditemui media selepas merasmikan hari terbuka Lembaga Koko Malaysia di Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Koko, Sungai Sumun di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Pengarah LKM, Datuk Dr Ramlee Kasin.

Dalam majlis itu, Johari turut menyampaikan Anugerah Petani Koko Jaya Perak kepada tiga petani terpilih yang berjaya mengeluarkan hasil biji koko kering melebih 1.5 tan metrik/hektar.

Anugerah ini merupakan manifestasi LKM dalam meningkatkan motivasi petani lain untuk terus mengusahakan tanaman koko.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini