Tumpuan :
Nasional

‘Petaling Street’ digempur, KPDN rampas 5,500 pelbagai barangan tiruan

Pihak berkuasa KPDN memeriksa barangan tiruan sewaktu Op Putra 5.0 di Jalan Petaling, Kuala Lumpur.

Oleh: Daniel Ahmad

KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah melaksanakan Op Putra 5.0 dan berjaya menutup 20 premis di ‘Petaling Street’ yang terlibat dalam penjualan barangan tiruan.

Pihak berkuasa turut berjaya merampas 5,500 unit barangan tiruan antaranya berupa tali pinggang, beg tangan wanita dan kasut sukan bernilai sekitar RM360,000.

Barangan tiruan yang disita terdiri daripada pelbagai produk berjenama terkenal, yang dipercayai dijual kepada pelancong asing di kawasan tumpuan tersebut.

Operasi itu turut melibatkan Jabatan Imigresen Kuala Lumpur, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Selain merampas barangan daripada beberapa lokasi, pihak berkuasa turut menemui sebuah premis tiga tingkat yang digunakan sebagai stor tersembunyi untuk menyimpan barangan tiruan.

Barang-barang tersebut disyaki diimport secara haram dan merupakan produk ‘Gred A’ yang direka untuk mengelirukan pengguna dan memberi ancaman besar terhadap integriti pasaran.

Menurut Timbalan Pengarah KPDN Kuala Lumpur, Nurul Syarina Md Anuar, terdapat beberapa aspek yang jelas membezakan barangan tiruan daripada barangan asli.

“Barang tiruan selalunya mempunyai kad jaminan yang nipis dan nombor siri yang tidak sah. Jika ada pun, ia kelihatan tidak meyakinkan.

“Yang paling utama adalah harga kerana barangan asli mempunyai kad jaminan yang eksklusif dan lebih berkualiti,” tambahnya.

Beliau juga menegaskan bahawa barangan tiruan yang dirampas akan dimusnahkan tanpa kompromi bagi mengelakkan ia terus memasuki pasaran dan merugikan pengguna serta peniaga yang sah.

Pemilik premis yang terlibat dalam operasi ini akan dikenakan tindakan undang-undang mengikut Akta Cap Dagangan 2019, Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Tonton laporan khas ‘20 Premis Barang Tiruan Lumpuh’, dalam program 999 malam ini di TV3. 999 #JenayahMembawaPadah

Program 999 bersiaran setiap Selasa, jam 9 malam dan strim sekarang melalui Tonton!

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini