Tumpuan :
Nasional

Pesuruhjaya kehakiman tarik diri dengar kes Dr M saman Anwar



SHAH ALAM: Pesuruhjaya Kehakiman Jamhirah Ali menarik diri daripada kes saman fitnah RM150 juta difailkan Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ini kerana beliau mempunyai hubungan kekeluargaan dengan peguam Anwar, Alliff Benjamin Aliff Suhaimi.

“Demi kepentingan keadilan saya menarik diri bagi mengelak sebarang konflik,” katanya pada pengurusan kes dalam talian, lapor FMT.

Peguam Mahathir, Rafique Rashid Ali, berkata permohonan untuk Jamhirah mengundur diri dibuat peguam Anwar.

“Kami tidak membantah pengunduran itu,” kata Rafique yang turut bersama Akif Rusli.

Peguam, Matthew Thomas Phillip dan Phoebe Looi mewakili Anwar hadir pada prosiding itu.

Rafique berkata, satu lagi pengurusan kes akan diadakan pada 21 Julai sementara menunggu pelantikan hakim baharu.

Dr Mahathir memfailkan saman pada Mei berhubung kenyataan Anwar yang juga Presiden PKR  mendakwa beliau seorang rasis dan menyatakan bekas perdana menteri itu mengayakan keluarga ketika berkuasa.

Beliau berkata, dakwaan itu menghakis statusnya sebagai negarawan dan bekas perdana menteri.

Dr Mahathir menuntut Anwar menarik semua kenyataan fitnah terhadapnya dan mengemukakan perkara itu dalam media arus perdana dan media sosial.

Anwar dalam pembelaannya, berkata Dr Mahathir berdepan masalah reputasi dan kredibiliti.

Beliau juga berkata, saman Mahathir merupakan penyalahgunaan proses mahkamah kerana ia difailkan atas tujuan dan motif tersembunyi.

Loading...
Terkini