Oleh: Kumaran Rajamoney
PARIT BUNTAR: Ponggal, sambutan yang lazimnya diraikan masyarakat Tamil di seluruh dunia bagi menandakan berakhirnya musim menuai dan mensyukuri hasil bumi yang diperoleh saban tahun.
Ia diraikan pada hari pertama bulan “Thai” iaitu bulan ke-10 dalam kalender Tamil dengan memasak nasi manis, menggunakan padi yang baru dituai bersama susu dan gula merah serta perkakasan serba baharu.
Antara perkakasan ini adalah periuk tanah yang dipercayai menyumbang kepada kedekatan kepada tradisi turun temurun serta rasa nasi manis yang lebih sedap.
Perusahaan pembuatan periuk tanah di Parit Buntar mula membuat persiapan sejak tahun lalu bagi menyediakan stok untuk memenuhi permintaan menjelang Ponggal tahun ini.
Pengusahanya, Reguraj Devaraj, 49 berkata tempoh yang panjang itu perlu kerana kaedah pengeluran periuk di kilangnya masih dilakukan secara tradisional.
Perniagaan keluarga yang diwarisi sejak zaman moyangnya ini, mempunyai pelanggan tetap dari negeri-negeri utara semenanjung tanahair sejak 100 tahun lalu.
“Dahulu kami menggunakan tanah liat dari sekitar daerah Kerian bagi penghasilan periuk. Namun kebelakangan ini, bekalannya mula berkurangan dan kami mendapatkan bekalan dari Ipoh.”
“Setiap satu periuk memerlukan masa antara tiga minggu hingga satu bulan untuk disiapkan sepenuhnya. Ini kerana proses pengeringan dilakukan secara semulajadi menggunakan suhu bilik. Selepas pengeringan, periuk perlu dibakar sebelum sedia untuk dipasarkan.”
Periuk tanah ini disiapkan mengikut permintaan yang dibuat perniagaan komersial, manakala sebahagian kecil untuk jualan runcit di premis perniagaannya di Kampung Kedah, di sini.
Pada tahun ini, pengeluaran periuk tanah adalah sekitar 10,000 unit dalam pelbagai saiz.
“Ada pelanggan yang meminati periuk dengan warna asli yang kemerahan, manakala ada juga yang mahu periuk yang sudah diwarnakan.”
“Kami akan sediakan variasi ini,” tambahnya.
Selain periuk tanah, produk lain seperti pelita turut dihasilkan bagi memenuhi permintaan sempena sambutan Ponggal.
Sambutan Ponggal tahun ini akan diraikan selama empat hari bermula hari ini iaitu Boghi (13 Jan), diikuti kemuncak perayaan iaitu “Thai Ponggal” pada esok (14 Jan), “Mattu Ponggal” (15 Jan) pada hari ketiga, dan “Kanni Ponggal” (16 Jan) pada hari terakhir.
Untuk rekod, “Boghi” adalah hari dimana kerja-kerja pembersihan rumah dilakukan menjelang hari kemuncak sambutan iaitu “Thai Ponggal”.
“Mattu Ponggal” adalah hari dimana sambutan diadakan bagi meraikan lembu yang menjadi elemen penting dalam kerja tani (dahulunya membantu membajak sawah) dan diakhiri “Kanni Ponggal” bagi meraikan golongan wanita bujang bagi mendoakan pertemuan jodoh dan kehidupan yang baik bersama pasangannya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.