Tumpuan :
Nasional

Pesta Angin Timur 2023 mampu tarik setengah juta pengunjung

KANGAR: Kerajaan Negeri Perlis menyasarkan kehadiran lebih setengah juta pengunjung pada Pesta Angin Timur 2023 (PAT 2023) yang dijadualkan berlangsung pada 3 hingga 5 Mac ini di Kampung Sungai Padang.

Menteri Besar Mohd Shukri Ramli berkata sasaran itu mampu dicapai apabila pesta itu kini diadakan kembali setelah dua tahun tidak dianjurkan secara fizikal akibat pandemik COVID-19, selain berdasarkan rekod sebelum ini yang berjaya menarik 125,000 pengunjung dari dalam dan luar negara pada PAT 2020.

“Pelbagai program menarik telah disusun untuk semua lapisan masyarakat pada edisi ke-11 ini termasuk forum agama, larian Angin Timur dan pertandingan jerami ikon yang baru diadakan tahun ini,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Mohd Shukri berkata pesta tiga hari dengan slogan ‘Mai Pakat Mai, Pakat Mai Ramai-Ramai’ itu turut membuka peluang kepada penduduk setempat untuk menambah pendapatan menerusi gerai-gerai yang disediakan oleh penganjur.

“Pesta yang akan disempurnakan perasmiannya oleh Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail pada 5 Mac dan turut dihadiri oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing itu bukan sahaja dinanti-natikan oleh penduduk Perlis tetapi juga pelancong tempatan dan luar negara,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Mesran Mohd Yusop berkata pesta itu antara program pelancongan paling berjaya dan berharap penganjurannya akan terus kekal sebagai program ikonik bagi negeri ini.

Beliau berkata PAT yang diadakan setiap tahun dengan memaparkan keunikan makanan dan cara hidup masyarakat di kawasan utara itu dianjurkan bersama Kerajaan Negeri Perlis dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya serta dikelolakan oleh JKKN Negeri Perlis.

— BERNAMA

Loading...
Terkini