Oleh: Fazli Ahmad
MARAN: Seorang penunggang motosikal maut selepas terbabas dan merempuh besi penghadang lebuh raya di Kilometer 166.6 Lebuhraya Pantai Timur (LPT) Satu, dekat susur keluar Maran hari ini.
Ketua Polis Daerah Maran, Deputi Superintendan, Mohamad Zamri Mohamad Zaber berkata, kemalangan berlaku kira-kira jam 10:55 pagi ketika mangsa berkonvoi dari Kuala Kangsar, Perak ke Kuantan untuk menyertai program RXZ Fighter Gathering 2024 bermula hari ini.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika mangsa yang dikenali sebagai Muhammad Lokman Abdul Aziz, 29, berasal dari Kampung Talang Masjid, Kuala Kangsar bersama rakan dalam perjalanan dari arah Kuala Lumpur ke Kuantan.
Katanya, motosikal mangsa dipercayai hilang kawalan dan terbabas ke kiri jalan serta melanggar besi penghadang jalan.
“Hasil temubual awal dengan rakan mangsa di tempat kejadian, mereka berkonvoi 14 motosikal.
“Ketika konvoi motosikal mangsa berada di kedudukan belakang sekali.
“Akibat kemalangan itu, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.
Mohamad Zamri berkata, hasil siasatan awal polis percaya, nahas berlaku kerana mangsa gagal kegagalan mengawal motosikal ditunggangi dan menyebabkan kemalangan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menunggang secara cuai dan menyebabkan kemalangan maut.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.