comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Pesawat Terhempas: Penyelia ladang wira selamatkan mangsa

Oleh: Juliana Sharin

SUNGKAI: Seorang penyelia ladang menjadi wira apabila tindakan pantasnya berjaya menyelamatkan nyawa dua mangsa yang terlibat dalam insiden pesawat ringan terhempas di Sungkai Perak pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi itu, Abdullah Abd Talib tidak menyangka rutinnya masuk ke Hutan Simpan Gunung Besout itu sejak 9 tahun, hari ini menemui pesawat ringan yang dalam keadaan terbalik dicelah-celah pokok Eucalyptus Hybrid.

Keadaan dahan pokok yang patah dan menghalang laluan, selain serpihan pesawat menjadi petanda sebelum dia menemui mangsa.

Sebelum itu dia tidak mendengar sebarang bunyi kuat dari arah lokasi kejadian.

Dia segera menelefon talian kecemasan untuk meminta bantuan.

Katanya, cuaca ketika itu berkabus.

“Dia punya juruterbang tergantung, terbalik. Kakinya tersepit di kerusi, jadi saya bantu peluknya hingga pihak bomba sampai. Yang seorang lagi perempuan itu dia terkeluar, jadi saya bantulah apa yang boleh” katanya kepada wartawan Juliana Sharin yang melakukan tinjauan di lokasi kejadian.

Pakaiannya juga masih mempunyai kesan darah mangsa.

Selain membantu membawa keluar mangsa yang tersepit di tempat duduk pemandu, Abdullah juga bertindak membantu pasukan mencari dan menyelamat (SAR) dengan menunjukan jalan masuk ke kawasan itu memandangkan ia jauh ke dalam kira-kira 15 kilometer dari jalan utama.

Kedua-dua mangsa telah dihantar ke Hospital Slim River untuk rawatan lanjut.

Bangkai pesawat Cessna 172N Skyhawk dengan pendaftaran 9M-ADA yang dikendalikan oleh Akademi Penerbangan Layang-Layang tersebut masih berada di lokasi ketika tinjauan ini dibuat jam 5 petang.

Loading...
Terkini