comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Pesawat terhempas: Kedua-dua mayat mangsa berjaya dibawa keluar jam 7.50 malam

Oleh: Mas Zharif Zhafri Aziz Desa

KLANG: Operasi mengeluarkan kedua-dua mayat mangsa nahas pesawat berjaya dibawa keluar oleh pihak berkuasa sekitar jam 7.50 malam tadi.

Pemerhatian media di lokasi nahas mendapati, semua mayat mangsa itu dibawa keluar dari lokasi ini menggunakan kenderaan trak polis secara berasingan.

Difahamkan, mayat mangsa nahas itu akan dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang untuk proses bedah siasat dan tindakan lanjut.

Berdasarkan manifest penerbangan yang didaftarkan, mangsa yang terlibat adalah Daniel Yee Hsiang Khoon, 30 tahun dan Roshaan Singh Raina, 42 tahun.

Mereka adalah juruterbang dan pembantu juruterbang yang juga ahli sebuah kelab penerbangan rekreasi.

Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dalam satu kenyataan mengesahkan sebuah pesawat ringan model BK 160 Gabriel dengan nombor pendaftaran I-POOC terhempas dekat Kapar, Selangor, siang tadi.

Menerusi kenyataan itu lagi pesawat yang dikendalikan oleh Air Adventure Flying Club berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang, Selangor jam 1.28 petang bagi penerbangan rekreasi.

Hubungan terakhir pesawat dengan pegawai kawalan trafik udara dilaporkan jam 1:35 petang, namun tiada panggilan kecemasan diterima pihaknya.

Terdahulu, pesawat ringan itu dilaporkan terhempas pada jam 1.10 petang di sekitar kebun kelapa sawit, Kampung Tok Muda, Klang, Selangor.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini