comscore
Tumpuan :
Nasional

Pesawat MH128 terpaksa mendarat di Alice Spring

Oleh: Ridhwan Rusydi Azri Roslan

PETALING JAYA: Pesawat Malaysia Airlines MH128 dari Melbourne, Australia menuju ke Kuala Lumpur yang membawa 258 orang penumpang terpaksa mendarat di Alice Springs, Australia selepas difahamkan mengalami masalah enjin.

Pesawat A330-300 yang dijadual tiba kira-kira jam 6 pagi hari ini, selamat mendarat di Lapangan Terbang Alice Springs pada jam 4.35 pagi tadi.

Menceritakan detik itu, salah seorang penumpang yang enggan dikenali memberitahu, pada awalnya keadaan nampak normal dan tiada perkara luar biasa yang berlaku.

“Semasa kami board kapal terbang semua nampak normal. Tapi saya ada perasan juga yang bunyi enjin di sebelah kanan itu agak lain.

“Jadi dalam dua jam kita dah di udara, ada rasa sikit getaran, seperti turbulance. Saya tahu yang ruang udara sekitar Australia ni memang banyak turbulance, jadi saya takdelah rasa pelik sangat.

“Macam saya selalu juga naik kapal terbang, jadi kali ini saya perasan dia ada descent sikit. So baru dua jam tapi dia dah menurun sikit, patutnya menaik kan.

“Bukan itu sahaja, salah seorang penumpang yang duduk di sebelah kanan pula beritahu yang enjin di bahagian dia duduk itu, tiada bunyi,” ujarnya.

Katanya selepas itu, tiga pengumuman dibuat di mana mereka diberitahu yang pesawat itu akan mendarat di Alice Spring atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan.

“Dia kata, enjin sebelah kanan sudah berhenti dan dia terpaksa buatkan enjin tu dalam keadaan idle. Jadi untuk keselamatan penumpang, kapten ambil keputusan untuk mendarat di sini,” jelasnya.

Namun, perasaan bimbang mula timbul selepas diberitahu yang mereka terpaksa berlegar selama dua jam di udara terlebih dahulu sebelum dapat mendarat.

Ditambah pula dengan pengumuman sebuah trak bomba sudah berada di lapangan terbang itu bagi sebarang kemungkinan.

“Perasaan saya masa tu memang bimbang. Lebih-lebih lagi masa dia kata kena pusing keliling udara selama dua jam tu untuk kurangkan minyak kapal terbang tu. Dua jam tu memang lama, gementar juga ketika itu.

“Lepas itu, mereka umum pula yang ada bomba sudah siap sedia di lapangan terbang, bertambah gementar dan takut kami.

“Tapi kami rasa kapten dan kesemua krew sangat profesional dalam mengawal perkara ini. jadi ketika kejadian tiada sebarang kekecohan berlaku, kami bahkan tepuk tangan selepas berjaya mendarat dengan selamat,” katanya.

Sementara itu dalam satu kenyataan Malaysia Alirlines mengesahkan penerbangan dari Melbourne, Australia ke Kuala Lumpur selamat mendarat di Lapangan Terbang Alice Springs awal pagi tadi ekoran masalah teknikal yang dialami.

Malaysia Airlines juga memaklumkan pihaknya telah menempatkan penumpang terlibat di beberapa hotel berdekatan sementara menantikan penerbangan seterusnya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini