comscore
Tumpuan :
Nasional

Pesawat mendarat cemas: Juruterbang, pelatih juruterbang selamat

 

Foto: JBPM

KLANG: Juruterbang dan pelatih juruterbang sebuah pesawat yang mendarat cemas di kawasan lapang dekat Bandar Sultan Suleiman, Pelabuhan Klang di sini, dilaporkan selamat.

Juruterbang, Rolando Barba Jr dan pelatih juruterbang, Muhammad Ridz Farhan Ridzwan tidak mengalami kecederaan dalam kejadian itu.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Wan Md Razali Wan Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.13 petang.

“Tiga jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Pelabuhan Klang, Klang Utara dan Klang Selatan membabitkan kekuatan 33 pegawai serta anggota dikejarkan ke lokasi.

“Pegawai Operasi Negeri, Mustakim Rimon yang berada di lokasi kejadian melaporkan pesawat diperiksa dan tidak menunjukkan tanda kebakaran,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, juruterbang dan pelatih juruterbang dilaporkan selamat dalam kejadian itu.

Terdahulu, sebuah pesawat ringan milik Kelab Penerbangan Subang dilaporkan melakukan pendaratan cemas di satu kawasan lapang dekat Pelabuhan Klang, hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), Datuk Kapten Norazman Mahmud dilaporkan berkata, pesawat Piper PA-28-161 dengan pendaftaran 9M-ANA dinaiki dua individu berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang pada jam 2.50 petang.

Beliau dilaporkan berkata, Menara Kawalan Subang menerima panggilan ‘mayday’ pada 2.58 petang dan Pusat Koordinasi Menyelamat Aeronautika Kuala Lumpur (KLARCC) CAAM di Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur diaktifkan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini