comscore
Tumpuan :
Nasional

Pesawat mendarat cemas di kilang, juruterbang, pelatih terselamat

Oleh: Baharuddin Mohamed

MELAKA: Suasana di sebuah kilang kaca di Lipat Kajang di sini, gempar berikutan sebuah pesawat latihan melakukan pendaratan cemas di kawasan lapang kilang itu, pagi tadi.

Dalam kejadian jam 11.05 pagi itu, juruterbang dan seorang jurulatihnya yang mengendalikan pesawat itu dilaporkan selamat.

Kejadian itu disahkan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) menerusi satu kenyataan akhbar dikeluarkan hari ini.

“CAAM mengesahkan sebuah pesawat latihan telah membuat pendaratan paksa di Jasin, Melaka berikutan masalah teknikal yang dilaporkan oleh juruterbang.

“Pesawat jenis Piper PA-28-181, 9MSKJ telah memohon kebenaran daripada Menara Kawalan Trafik Udara untuk mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka.

“Bagaimanapun pesawat yang dikendalikan Malaysian Flying Academy (MFA) telah membuat pendaratan paksa di kilang kaca itu pada 11:05 pagi tadi,” katanya.

Menurutnya, siasatan lanjut akan dilaksanakan oleh Biro Siasatan Kemalangan Udara di bawah Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) mengikut Bahagian XXVI Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam 2016.

Dalam pada itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Jasin, Asisten Superintenden Mohd. Fadzli Othman turut memaklumkan, maklumat mengenai insiden itu diterima oleh Pusat Kawalan Daerah (DCC) Jasin menerusi laporan dibuat pekerja kilang terbabit.

Ujarnya, bagaimanapun kes itu diserahkan sepenuhnya kepada MOT untuk tindakan lanjut.

Loading...
Terkini