Tumpuan :
Nasional

Maritim Malaysia terbangkan pesawat Amfibia bantu padam kebakaran hutan

Foto: ihsan APMM

Oleh: Zahir Senapiah.

KOTA TINGGI: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menerbangkan pesawat amfibia jenis Bombardier CL-415 miliknya bagi membantu memadam kebakaran di kawasan Bypass Sebana Cove – Punggai, pagi tadi.

 

Usaha itu bertujuan membantu anggota Bomba dan Penyelamat Malaysia yang sedang giat memadam kebakaran belukar yang masuk hari ketiga.

Pengarah Maritim Johor, Laksamana Pertama, Nurul Hizam Zakaria berkata, bantuan itu dihulurkan setelah Unit Drone Bomba membuat pemantauan udara selama tiga hari mendapati kebakaran itu  mula merebak hingga 32 hektar berbanding hanya dari 2 hektar sebelum ini.

Katanya, setelah menerima permohonan bantuan daripada Pejabat Daerah Kota Tinggi, Maritim Malaysia mengatur gerak pesawat Bombardier CL- 415 ke lokasi kejadian dan melakukan water bombing.

Ujarnya, pesawat terbabit mampu membawa sehingga 6 ribu liter air bagi setiap kali water scooping.

Foto: ihsan APMM

“Bagi operasi pada hari ini, pesawat telah berjaya membuat 18 kali water bombing dan akan disambung esok sehingga keseluruhan kawasan kebakaran berjaya dipadamkan” jelasnya dalam satu kenyataan.

Beliau turut meminta orang ramai supaya tidak memburukkan lagi keadaan dengan melakukan pembakaran terbuka di lokasi berhampiran.

Loading...
Terkini