Tumpuan :
Nasional

PeSAWAH tuntut campur tangan PM naikkan harga lantai padi

Perhimpunan lebih 500 pesawah dari seluruh negara itu dilakukan di pekarangan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) susulan tidak dapat dilakukan di hadapan Perdana Putra akibat lawatan rasmi Presiden Indonesia, Prabowo Subianto.

Oleh: Syafiqah Damanhuri

PUTRAJAYA: Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH) mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk campur tangan dengan segera untuk menaikkan harga lantai padi daripada RM1,300 per tan kepada RM1,800.

Pengerusinya, Abdul Rashid Yob berkata, harga semasa sudah tidak relevan berikutan kenaikan kos berkaitan diesel dan benih padi.

Pengerusi Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH), Abdul Rashid Yob

“Kita minta ada satu perbincangan dan juga kata putus secepat mungkin dan juga campur tangan pihak Perdana Menteri sendiri untuk memberikan berita baik kepada kita.

“Setakat ini, di peringkat Perdana Menteri telah menerima apa yang kita bawakan daripada PeSAWAH.” Katanya ketika ditemui di Wisma Tani.

Terdahulu, Abdul Rashid bersama sembilan yang lain ke Pejabat Perdana Menteri untuk menyerahkan memorandum tuntutan berkaitan kenaikan harga lantai dan bantahan cadangan perlesenan aktiviti berkongsi dan menjual benih tanaman.

Memorandum berkenaan ujarnya diserahkan kepada Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Chan Ming Kai.

Menurut Abdul Rashid, harga lantai RM1,800 itu penting bagi memastikan kelangsungan hidup pesawah dan menjamin bekalanan makanan negara.

“Harga lantai pada ketika ini telah ditetapkan pada tahun 2023 dan sudah ketinggalan zaman serta tidak lagi relevan dengan keadaan semasa.

“Kos benih padi yang naik dua kali sejak 2023, terkini naik mendadak kepada RM58 bagi setiap 20kg daripada RM45 pada 2023.

“Selain itu, kos racun kimia melambung tinggi, hampir empat kali ganda berbanding dua tahun lalu.” Jelasnya.

PeSAWAH turut membantah Rang Undang-Undang Kualiti Benih Tanaman yang berkemungkinan akan dibentangkan di Parlimen pada sesi depan.

“RUU ini dirangka tanpa sebarang perundingan yang bermakna dengan petani.

“RUU ini akan mewajibkan setiap individu yang memproses dan mengedar benih tanaman untuk memperolehi lesen dan menghantar sampel benih ke makmal untuk ujian pengesahan.” Ujarnya.

Dalam himpunan berkenaan, pesawah turut menemui Ketua Pengarah Kawal Selia Padi dan Beras, Datuk Badrul Hisham Mohd.

Perhimpunan lebih 500 pesawah dari seluruh negara itu dilakukan di pekarangan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) susulan tidak dapat dilakukan di hadapan Perdana Putra akibat lawatan rasmi Presiden Indonesia, Prabowo Subianto.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini