Tumpuan :
Nasional

Pesawah terima RM15 juta untuk persediaan Ramadan, Aidilfitri

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melihat sistem penanaman padi pada Majlis Peluncuran Projek Pembangunan Infrastrukur Bagi Menyokong Program Penanamam Padi Lima Musim Dua Tahun di Kampung PIDA 4.-FOTO: NSTP

Oleh: Selwam Arjunan

JERLUN: Perdana Menteri mengumumkan pesawah di seluruh negara akan menerima bantuan persediaan awal menjelang Ramadan dan Aidilfitri sebanyak RM15 juta.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata bantuan itu akan disalurkan daripada peruntukan tambahan sebanyak RM30 juta daripada Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) bagi menyokong usaha kerajaan membela nasib pesawah miskin.

“Saya minta Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary bantu pesawah dan bukannya parti politik memandangkan Bernas jana keuntungan daripada pesawah. Jadi beliau setuju untuk menyumbang RM30 juta sebelum ini.

“Daripada peruntukan itu, kita akan salurkan persediaan awal Ramadan dan Syawal kepada pesawah sebanyak RM15 juta dengan segera.

“Kita harap ia dapat dilaksanakan sebelum permulaan Ramadan,” katanya ketika berucap dalam Majlis Peluncuran Projek Pembangunan Infrastruktur Bagi Menyokong Program Penanaman Padi Lima Musim Dalam Tempoh Dua Tahun di Kampung PIDA 4, Ayer Hitam, di sini, petang tadi.

Penyaluran bantuan itu katanya, akan diselaraskan oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan dan Bernas.

Turut hadir, Menteri Pertanian dan Keterjaminam Makanan, Datuk Seri Mohammad Sabu dan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

13 Februari lepas, Anwar berkata tokoh korporat itu bersetuju menyalurkan peruntukan tambahan RM30 juta bagi menyokong usaha kerajaan membela nasib pesawah miskin.

Ujarnya, persetujuan itu disampaikan Tan Sri Syed Mokhtar, susulan pengumuman kerajaan berhubung harga lantai belian padi yang diselaraskan kepada RM1,500 bagi setiap tan metrik.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini