Oleh: Izzatie Rizan
KUALA LUMPUR: Bersara dari tentera laut ternyata bukan titik noktah buat Leftenan Komander (B) Nik Suharto Nik Husin 40, meneruskan aktiviti lasak.
Aktif mencabar stamina terutamanya dalam arena triathlon, lebih 20 acara kejohanan sukan lasak itu disertainya sejak dua tahun lalu.
Terbaru, dia mengharumkan nama negara, apabila berjaya memperoleh tempat keempat dalam pertandingan Adventure Race peringkat dunia yang berlangsung di Ecuador baru-baru ini.
Berkongsi kepada Buletin TV3, Nik Suharto atau lebih dikenali sebagai Hyper Nick berkata berbasikal, berenang serta berlari sememang menjadi minatnya usai kecil.
Menamatkan kerjaya dalam tentera setelah 20 tahun berkhidmat, beliau berkata keputusan bergerak aktif dalam sukan dilakukan bagi mengekalkan gaya hidup cergas yang menjadi sebahagian dalam kehidupan anggota tentera.
Mengulas kejayaan di Ecuador, beliau berkata berjaya menamatkan perlumbaan sejauh 350 kilometer (km) itu adalah rekod peribadi termanisnya dalam arena sukan lasak.
“Bagi yang gemar sukan lasak…kejohanan Adventure Race antara fasa yang tertinggi. Peserta perlu memenangi kejohanan di peringkat Asia sebelum layak menyertainya diperingkat dunia. Jadi saya dan tiga lagi rakan perlu kuat dari pelbagai aspek untuk mengharungi setiap cabaran.
“Hanya sekali berlatih bersama-sama sebab masing-masing ada komitmen..tapi kumpulan kami berjaya harungi suhu 0 darjah celcius, termasuk cuaca panas melebih 40 darjah celcius.”katanya
Katanya, dari segi latihan, dia tidak mempunyai latihan khusus.
Sebaliknya menganggap persediaan mental adalah kunci kepada prestasi terbaik dalam menghadapi cabaran.
Setakat ini Nik Suharto telah menyertai kejohanan Iron Man Langkawi sebanyak tujuh kali.
Termasuk dua pertandingan Xterra Off Road Triathlon yang menguji kemampuannya berenang sejauh 1.5 km, berbasikal bukit 25 km serta berlari sejauh 10 km.
“Saya lakukan aktiviti ini sebagai rutin…tak dinafikan ada hari saya makan roti canai juga, namun dengan kekal cergas ia secara tidak langsung memelihara kesihatan tubuh.
“Nak kata ketagih itu tak juga…cuma kalau tak sertai apa apa acara dalam sebulan, saya rasa kosong. Setakat ini saya akan pastikan sebulan saya sertai apa-apa sahaja acara tak kisahlah marathon, duathlon, berbasikal atau larian Ultra untuk pastikan ;persaraan’ saya terisi,”ujarnya.
Nik Suharto kini dalam persediaan untuk mencabar diri bagi menyertai kejohanan Adventure Race dunia sejauh 700 kilometer pula, sekali gus membawanya lebih jauh dalam arena itu dan melakar nama negara.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.