BESUT: Seorang pesara Jabatan Veterinar menjadi korban pertama banjir di Terengganu selepas ditemui lemas di Kampung Amer, di sini.
Mangsa, Tuan Jusoh Tuan Hasan, 66, dikatakan pergi ke kawasan sawah padi untuk memukat ikan, sebelum lemas dibawa arus banjir.
Kejadian berlaku kira-kira pukul 8.15 pagi tadi.
Menurut anak mangsa, Tuan Maizan Nasuha Tuan Jusoh, ayahnya pergi ke lokasi berkenaan bersama tiga lagi rakannya dengan menaiki bot.
Dia hanya mengetahui insiden yang menimpa bapanya sekitar jam 9.15 pagi.
“Dalam 8.15 pagi dia turun Bersama empat rakan dengan naik bot. Bila sampai tempat dituju, dia turun nak pacak kayu untuk jala ikan. Dia turun sorang namun tak timbul timbul. Rakan lain yang berada di dalam bot memaklumkan kejadian kepada orang kampung dan mereka menelefon bomba untuk bantuan.” Ujarnya
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Besut, Muhammad Azrul Izzham Zulkifli berkata, sejurus menerima panggilan kira-kira jam 9.08, seramai 10 anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.
Katanya, mangsa dikesan sekitar jarak 5 meter (m) dari lokasi mangsa dilaporkan hilang selepas kira-kira satu jam pencarian dilakukan.
“Jarak jumpa berhampiran dengan mangsa dipercayai 5 meter dia berada di dalam air aktiviti jala ikan dan mayat dijumpai di dasar sungai.” Katanya.
Mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.