Tumpuan :
Nasional

Pesara guru jadi mangsa penipuan panggilan telefon, rugi RM138,800

Foto hiasan

JEMPOL: Seorang pesara guru wanita kerugian RM138,800 selepas menjadi mangsa penipuan menerusi panggilan telefon.

Ketua Polis Daerah Jempol Superintendan Hoo Chang Hook berkata, warga emas berusia 68 tahun itu dihubungi individu yang menyamar sebagai pegawai dari Tenaga Nasional Berhad (TNB), pada 27 Ogos lalu.

Katanya, pada mulanya mangsa dimaklumkan mengenai permohonan ubah suai meter elektrik, namun apabila mangsa menafikannya, panggilan disambung kepada individu lain yang menyamar sebagai anggota polis.

“Mangsa dimaklumkan bahawa polis menemui 200 MyKad termasuk MyKad miliknya di dalam sebuah rumah di Taman Tas, Kuantan, namun mangsa sekali lagi menafikannya.

“Mangsa kemudian diminta membuat pemindahan wang kononnya bagi memastikan dia tidak terbabit dengan pengubahan wang haram sebelum melakukan beberapa transaksi berjumlah RM138,800,” katanya dalam kenyataannya, malam tadi.

Hoo berkata, selepas pemindahan dibuat, mangsa masih lagi diganggu termasuk diminta membuat bayaran tambahan bagi urusan dokumentasi.

“Mangsa yang curiga membuat panggilan ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang sebelum dimaklumkan sudah menjadi mangsa penipuan,” katanya.

Hoo berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini