
Oleh: Safwan Sawi
KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah menahan seorang pesara kerana disyaki mengemukakan tuntutan mengandungi butiran palsu berjumlah kira-kira RM60,000.
SPRM, dalam satu kenyataan, memaklumkan bahawa suspek lelaki berusia 60-an itu ditahan kira-kira jam 9.45 pagi tadi ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Cawangan Keningau.
“Siasatan awal mendapati suspek dipercayai melakukan perbuatan tersebut antara Mac 2020 hingga Ogos 2021.
“Suspek juga disyaki mengemukakan dokumen tuntutan elaun penugasan Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) atas nama anak dan isterinya, sedangkan mereka tidak pernah hadir bertugas,” menurut kenyataan itu, di sini, hari ini.
Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk S. Karunanithy, dalam kenyataan sama mengesahkan tangkapan tersebut dan memaklumkan bahawa kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
“Suspek akan dituduh di Mahkamah Khas Rasuah Kota Kinabalu, Sabah, pada 14 Mac ini,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.