JOHOR BAHRU: Pesara pengurus syarikat swasta kerugian RM175,000 selepas terpedaya dengan sindiket pelaburan tidak wujud yang menjanjikan pulangan lumayan dalam masa singkat.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, mangsa yang juga wanita warga asing berusia 54 tahun itu terjebak selepas tertarik dengan iklan di Facebook pada Oktober lalu.
Katanya, mangsa mula berhubung dengan suspek melalui aplikasi WhatsApp selepas menghubungi laman Facebook pelaburan itu.
“Mangsa kemudiannya menghubungi khidmat pelanggan melalui aplikasi WhatsApp dan berhubung dengan lelaki warga tempatan yang mengaku sebagai perunding saham.
“Suspek mengajak mangsa untuk menyertai pelaburan dan menjanjikan keuntungan dalam waktu yang singkat.
“Mangsa berminat dan menyerahkan butiran maklumat dirinya bagi tujuan pendaftaran,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Menurut Raub, mangsa kemudiannya menerima arahan untuk membuat pembayaran melalui tiga akaun bank berbeza sebagai modal pelaburan.
“Mangsa kemudiannya melakukan tujuh transaksi ke dalam tiga akaun bank berbeza antara 30 Oktober hingga 10 Disember lalu dengan jumlah keseluruhan RM175,000.
“Mangsa cuba untuk mengeluarkan keuntungan pelaburan, tetapi suspek meminta tambahan bayaran.
“Mangsa kemudian menyedari dirinya ditipu apabila semua usaha untuk mendapatkan semula wang itu gagal,” katanya.
Susulan kejadian, beliau berkata, wanita itu membuat laporan polis dan kes itu disiasat di bawah Seksyen 420 kanun keseksaan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.