Tumpuan :
Nasional

Pesakit rakyat Palestin ditempatkan di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan

FOTO: NSTP

Oleh: Zulfakhri Shamsul Ariffin

SUBANG: 41 pesakit rakyat Palestin yang tiba di Malaysia hari ini akan menjalani diagnosis terlebih dahulu sebelum dipindahkan  ke Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan (HATTM), Kuala Lumpur.

Mereka kini ditempatkan di Hangar Nombor 16 Skuadron di Pangkalan Udara Subang yang telah dijadikan sebagai Mini Hospital bagi persinggahan sementara rakyat Palestin berkenaan.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, tiga wad telah dikhususkan untuk semua pesakit rakyat Palestin di HATTM.

“Pesakit-pesakit ini, sekarang ni sedang diuji, didiagnosis terlebih dahulu sebelum dibawa ke HATTM.

“Kesemua mereka ini akan dibawa ke HATTM melalui ambulans yang telah disediakan dan hospital ini pun tiga wad akan digunakan untuk menempatkan mereka.

“Sebanyak 26 ambulans telah disediakan dan semuanya daripada Angkatan Tentera,” katanya dalam satu sidang media selepas menyambut kedatangan rakyat Palestin berkenaan, di sini, hari ini.

FOTO: NSTP

Jelasnya, Malaysia adalah negara kelima yang bertindak membawa pesakit rakyat Palestin untuk dirawat setelah negara mereka berdepan keganasan dan kekejaman Israel.

Katanya, Malaysia tidak menyediakan Hospital Medan di Palestin dan kawasan sekitar atas faktor risiko keselamatan.

“Pihak IDF, Israel tidak mengira sama ada ia markas tentera mahupun hospital, mereka (Israel) bom semua sekali.

“Jadi sebab itu lah kita tidak melihat itu (Hospital Medan) sebagai satu pilihan yang baik.

“Lebih-lebih lagi, kita ini Malaysia dengan pendirian kita yang sangat kuat dan tegas dalam soal ini (mempertahankan hak Palestin),” katanya.

Berikutan itu ujarnya, Malaysia mengambil langkah lebih baik, sama seperti negara lain antaranya Indonesia untuk membawa rakyat Palestin yang cedera untuk dirawat di sini.

41 orang pesakit yang berusia 8 bulan hingga 62 tahun itu antaranya mengalami patah dan kehilangan anggota badan terutamanya kaki dan tangan, selain luka parah di kepala dan kecederaan mata.

Tambah Datuk Seri Khaled, atas dasar perikemanusiaan, kerajaan turut membawa 86 orang waris rakyat Palestin itu memandangkan terdapat ramai dalam kalangan kanak-kanak.

Terdahulu, dua pesawat Airbus A-400M milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang membawa pesakit rakyat Palestin yang cedera itu selamat tiba di Pangkalan Udara Subang hari ini.

Pesawat yang berlepas dari Pangkalan Udara Al Maza, Kaherah semalam, membawa 41 orang pesakit terdiri daripada 20 lelaki dan 21 perempuan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini