comscore
Tumpuan :
Nasional

Pesakit mental ditahan, serang dan pukul 2 anggota polis

ISKANDAR PUTERI: Seorang lelaki tempatan yang dipercayai mempunyai masalah kesihatan mental ditahan selepas didapati menyerang dan memukul dua anggota polis sehingga salah seorang daripada mereka tercedera.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan berkata, kejadian dipercayai berlaku kira-kira 1 tengah hari semalam ketika dua anggota polis berusia 33 hingga 59 tahun ingin menunaikan solat Zuhur bersama ahli kariah di sebuah surau dekat Kangkar Pulai.

Beliau berkata, kedua-dua mangsa dari Balai Polis Kangkar Pulai diserang dan dipukul oleh suspek berusia 28 tahun itu.

“Akibat kejadian itu, anggota polis berusia 59 tahun luka di bahagian muka, kaki serta tangan kanan.

“Suspek berjaya ditangkap oleh kedua-dua anggota polis berkenaan dan tiada sebarang senjata digunakan ketika kejadian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Kumarasan berkata, hasil semakan rekod lampau mendapati suspek mempunyai tiga rekod kesalahan jenayah dan dua rekod kesalahan dadah.

Katanya, hasil ujian saringan awal air kencing pula mendapati suspek negatif dadah.

“Hasil siasatan awal juga mendapati suspek mempunyai rekod sebagai pesakit psikiatri di sebuah hospital di Johor Bahru.

“Suspek kini ditahan reman selama empat hari bermula hari ini hingga Jumaat ini,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 332 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan cedera bagi menakutkan penjawat awam daripada menjalankan tugas.

Kumarasan berkata, kes masih dalam siasatan termasuk mengenal pasti motif serangan dan orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan.

Loading...
Terkini