Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Pesakit bukan kritikal disaran ke klinik kesihatan, elak kesesakan

SHAH ALAM: Orang ramai atau pesakit bukan kritikal dan bukan kecemasan disaran mendapatkan rawatan di klinik kesihatan bagi mengelakkan kesesakan di Jabatan Kecemasan dan Trauma hospital kerajaan.

Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) menerusi Pengarahnya Datuk Dr Sha’ari Ngadiman, berkata saranan itu sebagai alternatif membantu mengurangkan kesesakan di hospital kerajaan termasuk Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang.

“Sebagai contoh bagi pesakit di sekitar bandar Klang dan kawasan berhampiran boleh mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan (KK) Bandar Botanik, KK Pandamaran, KK Bukit Kuda dan klinik kesihatan lain yang berdekatan.

“Orang ramai perlu mengambil maklum bahawa Jabatan Kecemasan dan Trauma di hospital kerajaan mengutamakan rawatan khususnya bagi kes kecemasan serta kritikal terlebih dulu.

“Susulan itu, kami memohon kerjasama orang ramai membantu mengurangkan kesesakan dan menggunakan fasiliti kesihatan berhampiran untuk rawatan kes biasa serta bukan kecemasan,” katanya kepada BH, hari ini.

Terdahulu, pihaknya membuat tinjauan di Jabatan Kecemasan hospital susulan isu kesesakan dan mendapati ada yang hadir bukan kes kritikal atau kecemasan, sebaliknya bagi kes atau masalah kesihatan bukan kecemasan termasuk untuk pemeriksaan darah saja.

Dr Sha’ari berkata, sejak Ogos tahun lalu, KK Bandar Botanik dibuka kepada orang ramai sehingga jam 9.30 malam pada hari biasa.

Beliau berkata, pada hari Sabtu dan Ahad, ia dibuka sehingga jam 12.30 tengah hari kecuali pada cuti umum.

“Selain KK Bandar Botanik, KK Ampang dan KK Kajang juga sudah beroperasi seperti ini.

“Klinik kesihatan lain juga akan dilanjutkan tempoh operasi secara berperingkat bagi menampung jumlah pesakit bukan kecemasan untuk mengelak lambakan kes bukan kecemasan di Jabatan Kecemasan dan Trauma di hospital,” katanya.

Loading...
Terkini