Tumpuan :
Nasional

Pesakit buah pinggang terjejas banjir dibantu bomba untuk jalani rawatan dialisis

Pesakit buah pinggang tahap lima, Zulkifli Ismail, 43, diiringi anggota bomba dari BBP Tumpat ke Hospital Tumpat untuk menerima rawatan. FOTO: NSTP

TUMPAT: Seorang pesakit buah pinggang tahap lima terpaksa meminta bantuan pasukan bomba untuk membawanya ke Hospital Tumpat, di sini, bagi menjalani rawatan dialisis, hari ini.

Ia berikutan laluan ke hospital itu dinaiki air sehingga paras 0.9 meter (m) menyebabkan Zulkifli Ismail, 43, dari Kampung Kok Keli, di sini, terpaksa meminta bantuan pihak berkuasa.

Zulkifli berkata, pernafasannya tidak lancar sejak malam kelmarin, namun semakin teruk sehingga memerlukan rawatan dialisis dijalankan segera.

“Kebiasaannya saya hanya menunggang motosikal untuk ke Hospital Tumpat yang jaraknya kira-kira tiga kilometer dari rumah.

“Bagaimanapun, sejak tiga hari lalu, laluan ke hospital dipenuhi air sama ada melalui Jalan Kelaboran atau jalan Taman Sri Dalam Rhu sekali gus semua kenderaan ringan tidak dapat melaluinya.

“Sejak malam tadi, kesihatan saya semakin teruk kerana minum air sedikit berlebihan dan tidak dapat bertahan menyebabkan saya memohon bantuan pasukan bomba,” katanya ketika ditemui Harian Metro, di sini.

Perjalanan membawa Zulkifli ke hospital terpaksa menggunakan laluan lebih jauh iaitu melalui Jalan Kampung Dalam Rhu dan memasuki Kampung Baru Nelayan sehingga ke jalan Taman Sri Dalam Rhu yang dilimpahi air setinggi 0.7m dan hanya boleh dilalui pacuan empat roda sahaja.

Zulkifli berkata, rawatan dialisisnya memakan masa sehingga empat jam dan dia akan menumpang kenderaan yang disediakan oleh pasukan penyelamat di hospital untuk pulang ke rumahnya.

Tinjauan di sekitar Tumpat mendapati air masih memenuhi beberapa kampung dan paling teruk terjejas ialah Taman Sri Dalam Rhu, Perumahan Sri Bayu, Kampung Tujoh, Kampung Baru Nelayan dan Jubakar Pantai.

Manakala di mukim Pengkalan Kubor pula, situasi banjir masih sama, namun banyak kediaman di kawasan itu ditenggelami air.

Tinjauan juga mendapati beberapa kenderaan yang diparkir di bahu jalan ditenggelami air dan orang ramai turut membina benteng dengan guni mengandungi pasir bagi menangani limpahan air.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini