comscore
Tumpuan :
Nasional

Peruntukan RM50 juta dana Celik Kewangan Belia MADANI untuk 1 juta pelajar IPTA

Datuk Seri Anwar Ibrahim pada majlis perasmian MSAM 2024 hari ini.

Oleh Afrina Romzi

SHAH ALAM: Kerajaan, Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan syarikat korporat lain memperuntuk RM50 juta setahun kepada sejuta pelajar Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan vokasional baharu dalam inisiatif Celik MADANI: Celik Kewangan Belia MADANI untuk meningkatkan tahap celik kewangan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata sebanyak RM50 akan dikreditkan ke dalam akaun pelajar dengan sasaran pendaftaran 200,000 pelajar setahun selama 5 tahun.

“Inisiatif ini bertujuan meningkatkan celik kewangan dalam kalangan pelajar dengan memastikan pelajar mempunyai platform untuk melabur, menggalakkan melabur pada usia muda sebelum memulakan pekerjaan serta melengkapkan pelajar dengan pengetahuan dan alat kewangan,” katanya pada Majlis Perasmian Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2024 hari ini.

Inisiatif ini yang diperkenalkan bersempena penjenamaan semula Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB).

Menurut PNB dalam satu kenyataan, 50 peratus daripada jumlah sumbangan RM50 kepada setiap pelajar adalah sumbangan daripada Kerajaan Malaysia, manakala baki RM25 akan ditaja oleh PNB dan syarikat korporat lain.

Jumlah RM50 itu akan dikreditkan ke dalam akaun Amanah Saham Bumiputera (ASB) atau Amanah Saham Malaysia (ASM) pelajar, di mana nilai ini akan dikunci bagi tempoh 5 tahun.

Sepanjang fasa ini, pelajar akan digalakkan untuk membuat simpanan berulang yang kecil setiap bulan untuk memupuk tabiat menabung.

Berdasarkan sumbangan nilai pelaburan percuma sebanyak RM50 dan dengan jangkaan pulangan dividen sepanjang tempoh itu adalah sebanyak 5.5 peratus setahun, apabila pelajar membuat simpanan tambahan RM20 sebulan selama 4 tahun sepanjang tempoh pengajian dan nilai simpanan ditambah ke RM100 sebulan ketika mula bekerja, mereka akan mempunyai simpanan terkumpul melebihi RM10,000 dalam tempoh 10 tahun, jika tiada pengeluaran dibuat.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini