comscore
Tumpuan :
Nasional

Peruntukan untuk kawasan, bukan khusus kepada Ahli Parlimen – Fadillah

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

SERDANG: Peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan kepada Ahli Parlimen bukan diberikan secara khusus kepada wakil rakyat tersebut.

Sebaliknya Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, peruntukan terbabit adalah untuk pembangunan infrastruktur dan sosial kawasan berkenaan.

“Peruntukan (Ahli Parlimen) pembangkang sebenarnya, peruntukan ini adalah peruntukan Perdana Menteri (Kerajaan Persekutuan). Peruntukan sebenarnya adalah untuk kawasan Parlimen, ia tidak ada dikatakan spesifik untuk Ahli Parlimen.

“Ahli Parlimen peranannya adalah untuk koordinasikan peruntukan itu,” katanya yang ditemui selepas menyempurnakan Majlis Peluncuran Banci Pertanian 2024, di sini hari ini.

Tambahnya, sekiranya ada peruntukan khusus untuk Ahli Parlimen pembangkang, pihaknya masih memuktamadkan perkara itu menerusi Memorandum Persefahaman (MoU).

Mei lalu, Fadillah dilapor berkata, draf MoU berkaitan penyaluran peruntukan kepada ahli Parlimen pembangkang sedang dimuktamadkan, antara lain akan memberi tumpuan kepada usaha membangunkan dan memulihkan ekonomi negara demi kesejahteraan rakyat.

Sebaik sahaja draf terbabit siap, jelasnya, ia akan diserahkan kepada majlis tertinggi semua parti politik kerajaan dan pembangkang untuk diluluskan.

Isnin lalu, Ahli Parlimen Machang daripada BERSATU, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mendakwa, peruntukan yang sepatutnya mereka terima sebagai wakil rakyat telah dilencongkan kepada ketua kampung parti kerajaan.

Selain itu, beliau mendakwa tiada audit dilakukan oleh penerima peruntukan itu seperti yang dilaksanakan oleh pihaknya selama ini.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini