Oleh : Siti Khadijah Jaafar
PETALING JAYA : Pengumuman peruntukan tambahan RM150 juta oleh Perdana Menteri bagi kerja penyelenggaraan kemudahan untuk Polis diRaja Malaysia, PDRM serta Jabatan Penjara mencerminkan keprihatinan kerajaan terhadap keselesaan serta kebajikan agensi keselamatan itu.
Malah jaminan Datuk Seri Anwar Ibrahim agar peruntukan itu disalur dengan kadar segera menunjukkan kecaknaan beliau dalam mengutamakan keperluan agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri, KDN.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, komitmen dizahirkan kerajaan itu amat dihargai pasukan sang saka biru khususnya dalam menaik taraf fasiliti dan infrastruktur yang sudah uzur.
Artikel berkaitan: Peruntukan tambahan RM 150 juta : KDN sambut baik, ucap terima kasih kepada Kerajaan
Ia berikutan kebanyakkan premis dan bangunan digunakan memerlukan perhatian segera memandangkan ada yang sudah melebihi 40 tahun terutamanya di kawasan pedalaman, Sabah dan Sarawak serta sempadan negara.
“Perlu pembaikan nombor satunya adalah untuk memperkasakan PDRM itu sendiri nombor dua kerajaan nampak menjamin atau memberi jaminan kepada kebajikan kepada anggota dan pegawai PDRM lah dengan kebajikan balai, berek, kedaifan kita ni dengan kita punya ROI ni berbeza.
ROI kita berjuta kita dapat rampas barang seludup yang masuk beras, ayam lah kontraban lah macam-macam , berjuta kita per year kita rampas”, katanya kepada Buletin TV3.
Suntikan peruntukan itu juga diharap menjadi pemangkin kepada anak buahnya dalam menggalas tanggungjawab memelihara keselamatan dan keharmonian negara.
Menurut Tan Sri Razarudin, sehingga kini, 464 premis melibatkan balai polis, berek dan lain-lain memerlukan pembaikan dan penyelenggaraan.
Daripada jumlah itu 231 berada ditahap serius, 219 sederhana dan 14 boleh ditangguhkan dengan kos keseluruhan mencecah RM54 juta.
Ketua Pengarah Penjara, Datuk Nordin Muhamad pula berharap peruntukan itu akan memberi manfaat kepada warga penjara sekaligus menyokong proses pemulihan banduan.
“Kita akan beri tumpuan untuk pembaikan kuarters kepada 12 buah institusi penjara di semenanjung Malaysia kerana peruntukan terdahulu telah pun diberikan prioriti untuk pembaikan kuarters serta kemudahan awam di Sabah dan Sarawak”.
Ketika mengumumkan perkara itu di Kulim, Kedah semalam, Datuk Seri Anwar berkata, RM45 juta diluluskan untuk kerja pembaikan serta perolehan peralatan di 117 pos kawalan Pasukan Gerakan Am, PGA dan 40 juta bagi infrastuktur berkaitan kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM).
RM50 juta pula untuk membaiki kuarters dan balai sementara peruntukan RM15 juta untuk kerja pembaikan dan fasilti Jabatan Penjara.
Secara keseluruhanya, RM 350 juta diperuntukkan untuk tujuan berkenaan.
Kerajaan dalam belanjawan 2023 sebelum ini meluluskan peruntukan RM200 juta untuk penyelenggaraan fasiliti kuarters agensi KDN.