comscore
Tumpuan :
Nasional

Peruntukan tambahan RM1.5 juta bagi pembaikan segera jalan kritikal Bintulu

Oleh: Juliana Sharin

PETALING JAYA: Kementerian Kerja Raya KKR meluluskan peruntukan tambahan RM1.5 juta bagi pembaikan segera kerosakan jalan yang kritikal di Jalan Persekutuan Bintulu-Bakun, Sarawak.

Menterinya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi memaklumkan, pihaknya turut mengambil inisiatif memasang gantri di empat lokasi untuk mengawal kenderaan lebih muatan yang menggunakan laluan itu.

“Isu kenderaan berat terutama lori yang membawa muatan melebihi had berat maksimum yang dibenarkan, dikenal pasti menjadi antara faktor utama kerosakan jalan di negara ini. Ia membuatkan jalan lebih cepat rosak kerana struktur pavement terjejas. Isu ini juga menyebabkan kos penyelenggaraan jalan menjadi lebih tinggi sekali gus menjejaskan keselesaan dan keselamatan pengguna jalan raya secara keseluruhan,” jelasnya menerusi kenyataan.

Dimaklumkan beliau sekali lagi turun padang meninjau semula beberapa lokasi Arahan Kerja (AK) Berkala Pavement yang telah dilaksanakan sepanjang tahun ini.

Tambahan RM1.5 juta itu menjadikan jumlah keseluruhan peruntukan pada 2023 adalah sebanyak RM7.5 juta.

Peruntukan RM6 juta sebelum itu membabitkan tiga AK pembaikan turapan jalan yang rosak teruk berpunca daripada kelemahan struktur pavement.

“Bagi kerja pembaikan turapan jalan yang kritikal berpunca daripada kelemahan struktur pavement, pembaikan yang dilaksanakan di lokasi tersebut adalah dengan menggunakan kaedah Cold-in Place Recycling (CIPR),” menurut kenyataan itu lagi.

Sebagai langkah peringatan beberapa papan tanda amaran had beban muatan yang dibenarkan akan dipasang sebagai rujukan pengguna lalu lintas.

Usaha itu selaras dengan Kempen #MYJalan KKR yang dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim 24 Ogos lalu.

“Usaha dan kerjasama rentas kementerian ini perlu digerakkan dengan bersungguh-sungguh dalam mencari penyelesaian jangka panjang, demi memastikan isu kerosakan jalan disebabkan masalah kenderaan lebih muatan ini dapat dikurangkan,” katanya.

Bagi meningkatkan akauntabiliti di kalangan pengguna jalan raya, pemain industri dan agensi kerajaan bahawa jalan raya adalah tanggungjawab bersama Kempen #MYJalan KKR diharap dapat menjadi platform advokasi dan juga pendedahan tentang penyenggaraan jalan raya sedia ada serta pengukuhan konsep “No Wrong Door Policy” di dalam penyaluran aduan berkaitan jalan raya.

Loading...
Terkini