Tumpuan :
Nasional

Peruntukan RM900 juta selesai masalah sekolah daif – Fadhlina

Fadhlina (tengah) bersama Armizan (tiga, kiri) mendengar taklimat berhubung bangunan tidak selamat dan ancaman banjir di Sekolah Kebangsaan (SK) Pekan Kinarut, Papar. – FOTO: NSTP

PAPAR: Kementerian Pendidikan (KPM) menyediakan peruntukan berjumlah RM900 juta untuk mengatasi masalah sekolah daif dalam Belanjawan 2023 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Jumaat lalu.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, jumlah itu adalah bagi 380 sekolah daif di seluruh negara yang diberikan tumpuan dalam belanjawan pada tahun ini.

Bagaimanapun katanya, KPM akan melihat semula senarai sekolah daif di Sabah dan Sarawak berikutan kebanyakan masalah itu dihadapi di kedua-dua negeri berkenaan.

“Secara keseluruhan kita ada RM900 juta untuk semua sekolah, bukan Sabah dan Sarawak saja. Tapi kita akan tengok balik Sabah dan Sarawak.

“Sabah adalah antara yang terbanyak (sekolah daif),” katanya ditemui selepas meninjau masalah bangunan tidak selamat dan ancaman banjir di Sekolah Kebangsaan (SK) Pekan Kinarut, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali.

Dalam pembentangan Belanjawan 2023 Jumaat lalu, Perdana Menteri berkata sebanyak RM2.3 bilion disediakan untuk memastikan infrastruktur dan kemudahan pembelajaran terbaik di semua sekolah termasuk menaik taraf bangunan serta infrastruktur di 380 sekolah daif khususnya di Sabah dan Sarawak melalui kaedah perolehan khas untuk kesegeraan.

Sementara itu, Fadhlina berkata, sejak 2016 hingga ke hari ini, sebanyak 980 sekolah daif disenaraikan di seluruh negara dan 380 ditumpukan pada belanjawan tahun ini.

Di Sabah, katanya daerah Ranau merekodkan paling banyak sekolah daif iaitu 44 sekolah, manakala lapan sekolah daif dikenal pasti di daerah Papar.

Kebanyakan bangunan di sekolah daif terbabit, katanya berada pada skala enam dan tujuh yang bermaksud tidak selamat diduduki.

“Dalam kes bangunan tidak selamat diduduki ini, tindakan kita ialah memindahkan murid ke bangunan yang disediakan.

“Bangunan yang daif itu pula akan diselenggara tetapi bagi yang berada pada skala enam dan tujuh, bangunannya perlu diganti.

“Ia berbeza dengan bangunan usang kerana ada yang usang tapi tidak daif dan masih boleh digunakan, manakala daif bermakna murid perlu dikeluarkan dari bangunan itu,” katanya.

Berdasarkan jawapan bertulisnya di Parlimen mengenai isu sekolah daif di Sabah baru-baru ini, KPM mengenal pasti sebanyak 289 sekolah daif di seluruh Sabah ketika ini dengan 64 daripadanya disahkan tidak selamat oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) iaitu berada pada skala tujuh.

Sebanyak 225 sekolah lagi berada pada skala enam yang bermaksud bangunan tidak selamat berdasarkan penilaian jabatan teknikal di peringkat Pejabat Pendidikan Daerah (PPD).

Selain Ranau, kawasan Parlimen lain yang dikenal pasti banyak sekolah daif di Sabah ialah Pensiangan (34), Beaufort (29), Keningau (21), Tuaran (18), Kudat (17), Silam (15), manakala masing-masing 14 di Libaran dan Sepanggar.

Selain itu, Beluran (13), Kota Belud (12), Kinabatangan (10), Papar (lapan), Sipitang (tujuh), Tenom (enam), masing-masing lima di Kalabakan dan Penampang, manakala Kimanis (empat), masing-masing tiga di Batu Sapi, Kota Marudu dan Tawau serta masing-masing dua sekolah daif di Kota Kinabalu dan Sandakan. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini