comscore
Tumpuan :
Nasional

Peruntukan RM8.2 juta untuk penyelenggaraan sungai di KL dan Selangor

Foto: NSTP

SELAYANG: Kerajaan memperuntukan RM8.2 juta untuk penyelenggaraan sampah di sungai sekitar Selangor dan Kuala Lumpur antara Januari hingga September lalu.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, Kuala Lumpur memperuntukkan RM4.5 juta manakala Selangor RM3.6 juta.

Katanya daripada jumlah itu RM166,320 dibelanjakan untuk penyelenggaraan sampah di struktur ‘log boom’ Kolam Takungan Banjir Jinjang dan RM150,000 setahun untuk penyelenggaraan sampah anak Sungai Udang.

“Baru-baru ini saya pergi ke kolam takungan banjir di mana kita melihat antara masalah utama adalah kemasukan sampah dan kos besar yang ditanggung JPS (Jabatan Pengairan Dan Saliran) untuk membersihkan kolam itu dua kali seminggu.

“Kita selalu bercakap mengenai program tebatan banjir yang membabitkan kos ratusan juta tetapi kita lupa antara perkara yang menyumbang kepada banjir adalah perkara yang sangat asas iaitu menjaga kebersihan sungai kita.

“Kos penyenggaraan itu dapat dikurangkan sekiranya isu pembuangan sampah dapat diatasi bersama bagi mengelakkan pencemaran alam sekitar dan risiko berlaku banjir,” katanya selepas lawatan kerjanya ke Sungai Jinjang, di sini, hari ini.

Nik Nazmi berkata, hasil maklumat yang diperoleh pihaknya mendapati sampah yang tersangkut di sungai dan kolam takungan berkenaan bukan saja ‘disumbangkan’ oleh peniaga, malah ia turut dibuang oleh penduduk di kawasan kediaman.

Katanya, ada dua sungai utama yang melalui Pasar Borong Selayang serta Pasar Borong Kuala Lumpur iaitu Sungai Jinjang dan anak Sungai Udang.

“JPS Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur melalui Pejabat Lembangan Sungai Klang (PLSK) dan JPS Daerah Gombak melaksanakan penyelenggaraan membersihkan sampah yang tersangkut di struktur perangkap sampah seperti Gross Pollutant Trap (GPT), Log Boom dan Trash Rake.

“Ia usaha untuk memastikan aliran air sungai berjalan lancar dan mengurangkan risiko banjir dan kekerapan kutipan adalah seminggu sekali atau lebih, bergantung kepada keperluan di kedua-dua sungai berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, kerja penyelenggaraan perlu dilaksanakan bagi memastikan kelestarian sungai terpelihara kerana dua sungai berkenaan melalui kawasan kediaman yang agak padat, seterusnya menyumbang kepada faktor peningkatan jumlah sampah di struktur perangkap sampah berkenaan.

“Berdasarkan rekod jumlah kutipan sampah di sekitar Kolam Takungan Banjir Jinjang pada 2021 adalah sebanyak 60 tan, manakala 59 tan direkodkan pada 2022 dan 36 tan bagi 2023 sehingga September lalu.

“Justeru, Kementerian dan agensi berkaitan menyeru masyarakat lebih prihatin dan memandang serius isu pembuangan sampah ke dalam sungai bagi mengurangkan risiko banjir untuk kesejahteraan sejagat serta kelestarian alam sekitar,” katanya.

Loading...
Terkini