KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) memperuntukkan RM3 juta untuk membaiki kerosakan 29 buah sekolah yang terjejas akibat ribut.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, proses membaik pulih sekolah yang terjejas akan bermula secepat mungkin dan dianggarkan mengambil masa selama tiga bulan.
KPM akan menentukan sama ada meminta Jabatan Kerja Raya (JKR) atau melantik kontraktor untuk melakukan kerja pemulihan.
Beliau menyampaikan perkara itu melakukan tinjauan bersama Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi ke Sekolah Kebangsaan Setapak, Kuala Lumpur, siang tadi.
Jumaat lalu, ribut melanda beberapa kawasan di Lembah Klang dengan 29 sekolah sekitar ibu kota dilapor mengalami kerosakan.
Hujan lebat serta ribut berlaku sejak petang menyebabkan pokok tumbang di beberapa lokasi di sekitar ibu kota sehingga merosakkan kenderaan, rumah dan menghalang laluan.
Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kuala Lumpur turut dilapor menerima laporan berkaitan pokok tumbang di 19 lokasi sekitar ibu negara hingga jam 8.12 malam.