Tumpuan :
Nasional

Peruntukan RM3.89j baik pulih asrama lelaki SMKA Dato Haji Abu Hassan Sail

Oleh Rusyaidi Hafiz Shahid

NEGERI SEMBILAN: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan tambahan membaik pulih asrama lelaki Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Dato Haji Abu Hassan Sail, di sini, yang terbakar pada 31 Julai tahun lepas.

Perdana Menteri berkata peruntukan sebelum ini yang diluluskan hampir RM3 juta dan dengan penambahan itu jumlah keseluruhan yang diluluskan adalah RM3.89 juta.

“Melihat keadaan asrama, bumbung dan surau, tentunya jumlah sebelum ini tidak mencukupi, dan saya akan minta Menteri Besar bincang dengan Pengarah JKR serta Kementerian Kewangan untuk memberikan kelulusan khas”

Beliau turut mengarahkan pelaksanaan kerja-kerja membaikpulih fasiliti asrama lelaki di sekolah berkenaan disegerakan bagi membolehkan para pelajar tidak mengalami sebarang kesulitan dalam pembelajaran.

Selain itu peruntukan sebanyak RM310,000 ditambah bagi menaiktaraf fasilti bilik guru dan surau.

“Saya lihat sekolah ini tidak daif umpamanya dari segi prasarana, cuma agak sederhana kalau lihat asramanya, kerosakan itu luarbiasa dan kemudahan agak minima tetapi masih mampu kerana komitmen dan dedikasi tenaga pengajar dan dedikasi para pelajar untuk mengangkat martabat sekolah ini sehingga mampu menjadi sekolah yang cemerlang” ujar Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menyampaikan ucapan di Dewan Utama SMKA Dato Haji Abu Hassan Sail.

Terdahulu Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba pada jam 12.20 tengah hari di sekolah tersebut dan turut meninjau keadaan pasca insiden kebakaran tingkat tiga asrama berkenaan.

Kebakaran yang berlaku di SMKA Dato Haji Abu Hassan Sail melibatkan bangunan asrama lelaki di tingkat tiga yang mempunyai kira-kira 10 bilik dan berkeluasan 40×200 kaki persegi namun tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan dan kebakaran berpunca dari kerosakan lintar pintas.

Loading...
Terkini