Tumpuan :
Nasional

Peruntukan RM20 juta untuk beli pam air di Kelantan sudah lama lulus – PM

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah) ketika meninjau kemajuan tapak projek Pembinaan Loji Rawatan Air (LRA) Chica Fasa Dua dan Sistem Agihan di Pasir Hor hari ini. Foto NSTP

KOTA BHARU: Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan peruntukan RM20 juta yang diumumkan pada Mei lalu bagi pembelian pam air untuk kegunaan pesawah di Kelantan, sudah lama diluluskan.

Perdana Menteri berkata, pelaksanaan projek mengambil masa berikutan timbul beberapa masalah membabitkan proses kelulusan daripada Kerajaan Negeri untuk membina laluan tanah bagi membolehkan kegunaan pam baharu.

Katanya, pam air yang sedia ada tidak sampai kepada permukaan air untuk disalurkan kepada kawasan sawah kerana musim kemarau dan paras air sungai yang rendah.

“Kita sudah mengadakan perbincangan dengan Kerajaan Negeri Kelantan dan mereka setuju meluluskan projek laluan tanah (di Sungai Kelantan).

“Saya berharap ini dapat disegerakan memandangkan ia digunakan oleh pesawah dan pekebun sayur.

“Ada yang bertanya kenapa peruntukan sudah lama diumumkan namun tidak dapat dilaksanakan,” katanya berucap pada Majlis Ramah Mesra Bersama Peniaga Pasar Besar Siti Khadijah, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad.

Media sebelum ini melaporkan, Persatuan Pesawah-pesawah Kelantan (PESAK) menuntut janji peruntukan RM20 juta oleh Perdana Menteri dipercepatkan bagi membantu menyelesaikan masalah pengairan sawah padi membabitkan lebih 7,000 petani di negeri ini.

Pengerusinya, Zuha Ismail dilaporkan berkata, peruntukan itu diumumkan pada Mei lalu bagi pembelian 20 unit pam air yang perlu diselesaikan sebelum bermulanya penanaman padi bagi musim kedua Oktober ini.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, isu berkenaan dianggap selesai selepas Kerajaan Negeri sudah menyatakan kelulusan pada 18 September lalu untuk projek laluan tanah.

Beliau percaya kementerian dan pihak yang berkaitan dapat menyegerakan pelaksanaan projek berkenaan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini