KOTA TINGGI: Kementerian Kerja Raya (KKR) telah meluluskan permohonan sebanyak RM113 juta bagi peruntukan membaik pulih jalan raya rosak akibat Monsun Timur Laut (MTL), di negeri Semenanjung.
Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, ia merangkumi permohonan membaik pulih sebanyak 129 lokasi, membabitkan 48 cerun runtuh bernilai RM55.4 juta dan 81 jalan raya rosak bernilai RM 57.6 juta.
Kementerian Kerja Raya (KKR) telah meluluskan permohonan sebanyak RM113 juta bagi peruntukan membaik pulih jalan raya rosak akibat Monsun Timur Laut (MTL), di negeri Semenanjung.
Video: NSTP pic.twitter.com/mjXzurpJ9k
— Buletin TV3 (@BuletinTV3) January 20, 2024
Tambahnya, permohonan membabitkan empat negeri yang teruk terjejas MTL.
“Antaranya Kelantan dengan kos RM34 juta, diikuti Johor (RM30.17 juta), Pahang (RM28.3 juta) dan Terengganu (RM11.3 juta), manakala bakinya melibatkan beberapa negeri lain.
“Di Johor kita selenggara jalan sebanyak RM7.6 juta membabitkan 51 lokasi, manakala cerun dua lokasi membabitkan nilai RM1.6 juta. Kita telah luluskan, yang saya sebut tadi sudah diluluskan.
“Diperingkat awal, kita tidak boleh nak buat kerja fizikal sekarang kerana hujan masih turun, kita difahamkan MTL ini akan berlarutan sehingga bulan Mac depan.
“Jika kerja-kerja baik pulih dilakukan sekarang, ia tidak akan memberi kesan yang terbaik, dan masih terjejas oleh air hujan yang turun nanti. Apabila tiba masanya dengan cuaca lebih baik, kita akan lakukan kerja supaya kita dapat pastikan kerja-kerja itu cukup sempurna dan terbaik,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas lawatan kerja di cerun runtuh FT003 Jalan Johor Bahru-Endau (PULADA) Seksyen 29 di sini, hari ini.
Nanta Linggi berkata terdapat empat lokasi jalan di Jalan Kota Tinggi-Mersing akan dinaik aras dengan kos berjumlah RM120 juta.
“Naik aras jalan ini menelan belanja yang besar, pihak KKR telah dibuat kajian dan anggarannya serta teknikal kerja dengan lengkap.
“Dua lokasi jalan di Johor akan kita masukkan dalam permohonan pada Rancangan Malaysia Ke 12, membabitkan naik aras jalan Kota Tinggi -Mersing dengan kos RM6 juta dan ganti jambatan Sungai Semaloh di Kluang dengan kos RM30 juta,” katanya memaklumkan lawatan kerja ke negeri terjejas banjir MTL akan diteruskan ke Pahang, selepas Terengganu dan Johor.