comscore
Tumpuan :
Nasional

Peruntukan RM100 juta hadapi kecemasan banjir luar jangkaan

SEBERANG JAYA: Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) memperuntukkan RM100 juta bagi persediaan menghadapi musim Monsun Timur Laut yang dijangka bermula pertengahan bulan ini.

Menterinya, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata peruntukan bagi kerja-kerja kecemasan luar jangka itu telah disalurkan menerusi tiga fasa kepada 13 negeri dan tiga wilayah seluruh negara.

Katanya, daripada jumlah itu, Sarawak menerima peruntukan tertinggi iaitu RM16.5 juta.

“Kerja-kerja kecemasan luar jangka ini meliputi pemulihan sistem saliran, perparitan, pembaikpulihan jalanraya dan jambatan serta struktur kawalan banjir.

“Keperluan setiap negeri juga berbeza dan baru-baru ini saya sempat melawat beberapa negeri termasuk Negeri Sembilan dan Selangor serta Pulau Pinang hari ini untuk memantau persediaan agensi terlibat untuk menghadapi banjir.

“Selain itu, kelengkapan tambahan seperti pam bergerak turut disediakan bagi mempercepatkan aliran air banjir sekali gus mengurangkan kedalaman banjir,” katanya selepas melawat Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Taman Siakap, di sini, pagi tadi.

Hadir sama, Ketua Setiausaha NRECC, Dr. Ching Thoo Kim dan Pengarah Jataban Pengairan dan Saliran (JPS) negeri, Ir. Mohd. Nazri Yasmin.

Pulau Pinang menerima RM5 juta menerusi JPS negeri yang akan menjalankan kerja penyelenggaraan ketika musim banjir.

Dalam perkembangan lain, Nik Nazmi berkata, Kerajaan Pusat telah meluluskan peruntukan berjumlah RM20 juta dalam Rolling Plan Pertama Rancangan Malaysia Ke-12 untuk melaksanakan RTB Taman Siakap dalam usaha mengurangkan risiko kejadian banjir di kawasan terbabit.

“Komponen utama projek adalah kerja menaik taraf dua rumah pam, pembinaan benteng banjir, menaik taraf pembentung Lebuhraya Kurau serta kerja-kerja berkaitan.

“Projek ini telah bermula pada 21 Ogos 2023 dan dijangka siap pada 20 Ogos 2025,” jelasnya.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini