Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin
PUTRAJAYA: Kerajaan melalui Tabung Kumpulan Wang Amanah Bantuan Bencana Negara (KWABBN) bersetuju untuk menyediakan peruntukan berjumlah RM10 juta bagi membolehkan pengurusan dan pengoperasian berkesan dalam menangani impak Monsun Barat Daya.
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dalam kenyataan hari ini memaklumkan, peruntukan tersebut boleh digunakan oleh Kerajaan Negeri dan agensi tindak balas yang terlibat.
“NADMA akan menyelaraskan penyaluran peruntukan berdasarkan permohonan dan keperluan operasi bencana tersebut,” menurut kenyataan itu.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) sebelum ini dilaporkan berkata, Monsun Barat Daya yang bermula pada 17 Mei lalu dijangka membawa cuaca lebih kering dan kebanyakan negeri akan mengalami lebih banyak bilangan hari tanpa hujan, yang boleh menyebabkan pelbagai impak negatif meliputi kesan kesihatan, kekurangan bekalan air serta jerebu.
Mengulas lanjut, menurut NADMA, agensi teknikal dan agensi tindak balas pengurusan bencana telah bersiap sedia untuk mengurangkan risiko dalam menghadapi monsun itu.
Katanya, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) telah bersiap sedia dengan persiapan logistik dan 23,566 anggota untuk digerakkan bagi menghadapi kebakaran terbuka.
Antara persediaan logistik termasuk pesawat bombardier, water tanker, fire rescue tender, pam angkut dan pengoperasian menara tinjau.
“Selain pemantauan kualiti udara dan pelaporan indeks pencemaran udara, pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS) turut membuat rondaan darat dan udara menggunakan dron dengan kerjasama Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
“JAS juga mengaktifkan infrastruktur pencegahan kebakaran tanah gambut seperti telaga tiub (108), sekatan saliran (305), peziometer (96), menara tinjau (6) dan kolam takungan (15),” menurut kenyataan itu.
Untuk rekod, dari 1 Januari hingga 30 April lalu, JAS menyiasat sebanyak 2,030 kes pembakaran terbuka dengan 100 kompaun bernilai RM200,000 telah dikeluarkan dan 56 notis arahan.
Sementara itu, NADMA berkata, Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) menyediakan sumber air alternatif iaitu sumber air bawah tanah sebanyak 640 telaga aktif domestik serta 104 telaga untuk pencegahan dan pemadaman kebakaran di tanah gambut dan hutan dengan kapasiti keseluruhan 176.13 juta liter sehari.
Bagi mengurangkan penyakit berkaitan haba ke tahap minimum, Kementerian Kesihatan (KKM) melakukan pemantauan sejak Minggu Epid 1/2024 (ME1) dan menyampaikan aktiviti komunikasi risiko seawal mungkin.
KKM turut memberikan rawatan seawal mungkin bagi mengelakkan morbiditi dan mortaliti termasuk merekodkan pemantauan kes bagi mengenal pasti dan melindungi golongan berisiko tinggi.
“APM juga melakukan operasi pemantauan dan berada di lokasi hotspot bencana serta bekerjasama dengan beberapa agensi berkaitan bagi mewujudkan satu gerak kerja bagi tujuan pencegahan sekiranya berlaku perkara yang lebih buruk.
“OP Ramah APM ini sebagai usaha memberi kesedaran dan keselamatan kepada orang ramai mengenai pelbagai risiko Monsun Barat Daya,” menurut kenyataan itu.
Dalam pada itu, ujar NADMA, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri akan meminta pengendali air di setiap negeri untuk meningkatkan kecekapan operasi mereka dan menyediakan sokongan logistik untuk memobilisasi bekalan air ke kawasan terjejas.
Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) pula akan membuat pemantauan aras air dan storan empangan di 25 empangan, pemantauan aras air atau kadar alir sungai di 25 lokasi serta pemantauan keamatan hujan di 177 stesen seluruh negara.
Pelaporan mengenai pemantauan dan notis hebahan ramalan kemarau dilakukan setiap minggu.
Selain itu, operasi pembenihan awan akan dilakukan apabila terdapat keperluan dan setelah mendapat nasihat teknikal dari MetMalaysia serta ketersediaan pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) pada tarikh yang dicadangkan.
Justeru, NADMA berharap kesiapsiagaan dan langkah proaktif agensi berkaitan dalam menguruskan impak Monsun Barat Daya dapat mengatasi kegusaran orang ramai sekali gus menghindari daripada tersebar maklumat tidak tepat.
“Persediaan menghadapi Monsun Barat Daya ini bukan hanya terletak di bahu agensi kerajaan sahaja, kesedaran terhadap impak cuaca panas dalam kalangan orang awam juga adalah penting.
“Orang awam dinasihatkan supaya lebih peka dan mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan risiko terkena strok haba,” menurut kenyataan itu.
Langkah itu termasuk berjimat cermat dan mengamalkan penggunaan air secara berhemah serta tidak melakukan pembakaran terbuka.
NADMA turut menasihatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan maklumat tidak sah atau tiada sumber lengkap untuk mengelakkan salah faham.
Tambahnya, laporan mingguan berkaitan impak cuaca panas boleh didapati di laman sesawang agensi berkenaan di www.nadma.gov.my.
Maklumat dan amaran cuaca terkini juga boleh diperolehi melalui pelbagai medium iaitu laman web rasmi, aplikasi myCuaca, dan METMalaysia Hotline di talian 1-300-22-1638.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.