Oleh: Fatin Hanani Sahimi
PUTRAJAYA: Peruntukan kepada kawasan ahli Parlimen pembangkang yang terjejas banjir akan diputuskan selepas bencana berkenaan berakhir, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.
Jelasnya, ketika ini fokus diberikan dalam melaksanakan langkah pemulihan kepada kawasan yang memerlukan pembaikan segera.
“Semua kawasan kita ada proses untuk melihat, pertama sekali kita ingin tumpukan kepada pemulihan kerosakan, kemudahan bangunan yang melibatkan keperluan dan kepentingan awam.
“Tunggu selesai banjir baru diputuskan (peruntukan berkenaan),” beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Peluncuran Putrajaya Urban Observatory (PUO) bersempena Digital Putrajaya Exhibition & Conference (DiPEC2024) di sini, hari ini.
Terdahulu Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim menggesa kerajaan mempertimbangkan peruntukan segera sebanyak RM1 juta kepada ahli Parlimen pembangkang yang kawasannya terjejas banjir untuk membantu rakyat terlibat.
Pihaknya juga telah membuat permohonan termasuk melalui pesanan khidmat ringkas (SMS) memohon Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertimbangkan peruntukan RM1 juta untuk membeli makanan dan juga peralatan seperti tilam dan sebagainya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.