Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin
PUTRAJAYA: Kerajaan akan memperkenalkan satu perundangan baharu bertujuan mengawal selia badan berkanun Persekutuan (BBP) dan syarikat di bawahnya bagi memperkukuh tatakelola badan berkanun berkenaan.
Dalam kenyataan hari ini, Pejabat Perdana Menteri memaklumkan, langkah itu diputuskan melalui Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Tatakelola Nasional (JKKTN) yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, baru-baru ini.
Perundangan baharu berkenaan antara tujuh dasar dan inisiatif melibatkan pengukuhan tatakelola dan reformasi perundangan yang diputuskan dalam mesyuarat tersebut ke arah meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan awam.
Kenyataan itu turut menyatakan, pengukuhan tatakelola BBP secara perundangan akan memberi penekanan antaranya mengenai aspek pinjaman, pelaburan serta penubuhan anak-anak syarikat.
“Selain itu, Garis Panduan Mengenai Pengurusan dan Tatakelola BBP telah dikeluarkan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri pada 30 April 2024 bagi menggantikan Surat Pekeliling Am Bilangan 3 Tahun 1998.
“Garis panduan ini antara lain memperkukuh proses pelantikan Pengerusi dan Ahli Lembaga Pengarah BBP, memperkasa peranan Audit Dalam, memperkukuh struktur dan komposisi keahlian Lembaga Pengarah dan mewujudkan Sistem Badan Berkanun (SBSys) sebagai mekanisme pengawalseliaan BBP,” menurut kenyataan itu.
Mesyuarat juga bersetuju penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) Perolehan Kerajaan bagi mewujudkan mekanisme aduan dan bantahan selaras piawaian antarabangsa bagi memperkasa tatakelola perolehan kerajaan secara perundangan selari Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS).
Turut dipersetujui, penggubalan RUU Kebebasan Maklumat bagi memberi akses kepada rakyat untuk mendapatkan maklumat daripada badan awam dan Kerajaan.
Langkah berkenaan diambil bagi memastikan penyampaian perkhidmatan awam dipertingkat melalui penglibatan rakyat dalam proses pembentukan dasar negara selaras NACS.
“Satu pasukan petugas khas ditubuhkan oleh Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) bagi pelaksanaan syor-syor Jawatankuasa Kajian Terhadap Kes Kematian Dalam Tahanan Dan Mengenal Pasti Cadangan Langkah Pencegahan.
“Ia berhubung aspek penambahbaikan perundangan, prosedur operasi standard (SOP) dan infrastruktur untuk diteliti oleh entiti kawal selia masing-masing serta dilaksanakan agensi penguatkuasaan di bawah bidang kuasa masing-masing,” menurut kenyataan itu.
Mengulas lanjut, jelas kenyataan itu, Arahan Perdana Menteri No. 1 Tahun 2023 berhubung Tatakelola Syarikat Berkepentingan Kerajaan (SBK) dan Syarikat Berhad Menurut Jaminan Kerajaan (CLBG) dikeluarkan pada 20 Mei lalu.
Arahan terbabit bertujuan memberi panduan kepada Kementerian Pengawal dalam pelaksanaan peraturan dan prosedur berkaitan dengan pengurusan dan tatakelola SBK dan CLBG.
“Garis Panduan Pengendalian Sokongan oleh Anggota Pentadbiran dalam urusan kerajaan diperkenalkan mulai 21 Mei 2024 bagi memastikan surat sokongan tidak disalah guna bagi tujuan kepentingan peribadi
“Garis panduan ini adalah sebagai peringatan berhubung subseksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 berhubung larangan penggunaan jawatan atau kedudukan untuk apa-apa suapan, sama ada kepentingan peribadinya, saudara atau sekutunya,” menurut kenyataan itu.
Sementara itu, Pejabat Perdana Menteri berkata, sejak peluncuran NACS pada 7 Mei lalu, kerajaan telah memperkenalkan 60 substrategi nasional yang membuktikan kesungguhan dan komitmen kerajaan dalam membanteras rasuah.
Ia selaras aspirasi nasional untuk membangun Malaysia MADANI, selain bermatlamat untuk memastikan kesejahteraan dan kemakmuran rakyat terpelihara tanpa gejala rasuah.
“NACS menekankan salah satu daripada strateginya adalah pendidikan iaitu sebagai teras utama dalam usaha membudayakan nilai-nilai murni bagi mengelak diri dari terjebak dengan unsur rasuah.
“Antara usaha ini dizahirkan melalui penambahbaikan pelaksanaan Kursus Integriti dan Antirasuah (KIAR) dan supaya KIAR dilaksanakan di semua Institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET),” menurut kenyataan itu.
Tambahnya, NACS juga menyarankan supaya Sistem Integriti Korporat Malaysia (CISM) dimanfaatkan untuk menggalakkan tatakelola baik dalam sektor swasta.
“Melalui dasar inklusif dan bertanggungjawab yang diperkenalkan kerajaan, usaha memerangi rasuah memerlukan penglibatan semua pihak bagi memperkasakan rakyat Malaysia untuk menolak amalan rasuah,” menurut kenyataan itu.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.