KUALA TERENGGANU: Langkah kerajaan menurunkan harga telur seluruh negara disambut baik semua pihak.
Namun masih ada segelintir peruncit di Terengganu yang masih menjual telur pada harga lama.
Menurut peruncit, Nora Afizah Azman dia terpaksa menjual telur pada harga lama kerana dia membeli telur dari pemborong pada harga sebelum penurunan dibuat.
Tambahnya setakat ini dia belum mendapat bekalan telur baharu lagi.
Ini kerana kebanyakan pemborong telur sekitar Kuala Terengganu masih menutup operasi mereka sejak dua hari lalu kerana cuti Aidiladha.
Jelasnya lagi sekiranya dia menjual telur pada harga baru dia akan mengalami kerugian kerana stok telur sebelum ini dibeli pada harga lama.
“Kita beritahulah sebab kita tak dapat jual lagi dengan harga baharu, sebab telur yang ada kita dapat dari pemborong dengan harga lama dan jika kita jual dengan harga baru rugilah saya”, katanya.
Bagi pengguna, Masirah Abdul Aziz, setakat ini dia masih membeli telur pada harga lama memandangkan kebanyakan peruncit masih menjual telur pada harga sebelum penurunan.
“Sama saja, harga telur di sini ada turun ada naik, ada kedai lain jual 13, yang lain ada 11, ada 12 dia tak sama”, ujarnya.
Semalam kerajaan memutuskan harga runcit bagi telur ayam gred A, B dan C di seluruh negara diturunkan 3 sen sebiji.
Harga runcit baharu bagi telur ayam gred A, B dan C masing-masing ditetapkan 42 sen, 40 sen dan 38 sen sebiji, berkuat kuasa serta merta.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.