PUTRAJAYA: Bagi mengatasi kesesakan di Tambak Johor, perubahan syif waktu bekerja dilaksanakan bagi kakitangan Jabatan Imigresen (JIM) bertugas di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di Bangunan Sultan Iskandar (BSI), Tambak Johor dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), Gelang Patah bermula Ahad ini.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata syif baharu membabitkan syif pagi dari jam 9 pagi hingga 6 petang, 4 petang hingga 12 malam (syif petang) dan 12 malam hingga 9 pagi (syif malam).
“Pertukaran masa waktu bekerja syif baharu ini tidak membabitkan pertukaran syif pada masa puncak iaitu antara jam 4 pagi hingga 7 pagi dan 5 petang hingga 7.30 malam.
“Ini secara tidak langsung dapat memastikan semua kaunter dapat beroperasi pada masa itu,” katanya pada sidang media selepas majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Sambutan Aidilfitri Jabatan Imigresen di sini hari ini.
Sebelum ini, syif bekerja adalah 7 pagi hingga 4 petang (syif pagi), 3 petang hingga 11 malam dan 11 malam hingga 8 pagi.
Beliau berkata, mulai Isnin depan, seramai 100 pegawai imigresen baharu akan ditempatkan di di BSI dan KSAB manakala 100 lagi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bagi menangani kesesakan di pintu masuk.
Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, inisiatif tambahan itu adalah antara usaha dan komitmen dalam menangani masalah kesesakan di pintu masuk negara selain pada masa sama turut menjaga kebajikan pekerja.
“Pintu Masuk BSI antara tersibuk di dunia dengan purata pelawat keluar dan masuk pada hari biasa mencecah 220,000 pergerakan pelawat merentas sempadan.
“Jadi perubahan syif ini antara inisiatif tambahan, sebelum ini kita turut melaksana penggunaan sistem pagar automatik (Autogate) dan dalam proses penambahan sekarang,
“Menambah lorong motosikal, menyatukan kaunter cop pasport dan Touch N Go (TnG) yang mana memberi penjimatan masa antara tiga hingga lima saat, Sedikit sebanyak dapat terus mengurangkan masa kenderaan beratur,” katanya.
Khamis lalu, Jabatan Imigresen dilaporkan berkata, akan melaksanakan formula baharu pertukaran syif di pintu keluar masuk laluan darat di BSI dan KSAB, bagi memastikan semua kaunter dibuka ketika waktu puncak.
Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh, dilaporkan berkata Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di BSI kekurangan hampir 300 kakitangan lagi bagi melaksanakan pembukaan semua 284 kaunter secara maksimum pada waktu puncak.
Masalah kesesakan itu turut mendapat perhatian Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang beberapa kali membuat tinjauan di CIQ bagi memastikan isu kesesakan di situ dapat diatasi.