Tumpuan :
Nasional

Pertumbuhan ekonomi, keharmonian rakyat di Malaysia jadi daya penarik pelabur – PM

Perdana Menteri ketika merasmikan Pusat Beli Belah Alamanda Berwajah Baharu di Putrajaya hari ini.

oleh Fareez Azman

PUTRAJAYA: Pertumbuhan ekonomi Malaysia yang signifikan, keupayaan dalam pelbagai sektor awam dan swasta serta keharmonian rakyat pelbagai kaum dan agama dilihat sebagai daya penarik pelabur ke negara ini.

Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kekuatan itu ditambah dengan kesepaduan rakyat dalam membangunkan Malaysia.

“Mana ada negara di dunia di mana masyarakatnya pelbagai kaum dan pelbagai agama tetapi boleh hidup dengan rukun damai, dan Malaysia juga antara yang terbaik.

“Mana negara yang sudah kecundang sedikit, lemah dengan pelbagai skandal, kemudian pandemik COVID-19 dan sekarang terangkat kembali.

“Pertumbuhan (ekonomi) yang baik, pelaburan yang tinggi, pusat Kecerdasan Buatan (AI), pusat data, hab semikonduktor, dan kita sudah melihat lawatan pemimpin dunia yang tidak henti,” jelasnya.

Tambah Anwar, ramai pemimpin dunia dijangka hadir ke Malaysia dalam rangka lawatan dua negara.

“Tengok dalam sebulan dua ini, berapa banyak pemimpin besar. Tidak lama lagi, Presiden Xi Jinping (Presiden China) akan datang. Presiden Afrika Selatan (juga dijangka datang), dan banyak lagi dalam sebulan dua ini.

“Saya pun tak tahu. Mungkin bila Ramadan itu (kita perlu) tangguh sekejap. Walaupun kita kerja seperti biasa, tetapi lawatan dari luar negara ini, kita mula balik lawatan pada April,” tambahnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Pusat Beli-Belah Alamanda Berwajah Baharu di sini hari ini.

Hadir sama, Menteri Wilayah Persekutuan, Dr. Zaliha Mustafa.

Pusat beli-belah yang dibuka sejak 20 tahun lalu kini dinaik taraf dengan kos mencecah RM100 juta.

Ia membabitkan pelbagai kemudahan asas serta tarikan baharu seperti arena boling, taman cabaran Escape Putrajaya serta Kiosk Sentuhan MADANI.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini