Tumpuan :
Nasional

Pertukaran trup MALBATT tetap diteruskan

Foto: NSTP

KUALA LUMPUR: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan meneruskan rancangan pertukaran trup antara pasukan Batalion Malaysia (MALBATT) 850-11 dan MALBATT 850-12 mengikut jadual Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL).

Bahagian Risikan dan Komunikasi Strategik Pertahanan, Markas ATM berkata, rancangan pertukaran trup turut dilaksanakan beberapa negara lain yang menghantar trup pengaman ke UNIFIL.

“Semua proses pertukaran trup yang dilakukan pada bulan ini adalah mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Pada masa ini trup MALBATT 850-12 yang masih berada di Malaysia, tetap menjalankan tugas seperti biasa dan sedang melakukan persiapan akhir sebelum diaturgerakkan ke Lubnan, pada 10 November ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Markas ATM menjelaskan trup berkenaan sudah mempamerkan moral dan semangat juang yang tinggi.

“ATM kekal komited terhadap tahap keselamatan dan kesejahteraan anggota dalam melaksanakan misi pengaman di bawah panji Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan terus memantau secara rapi melalui Markas Angkatan Bersama (MKAB),” katanya.

Mengulas mengenai perkembangan terkini insiden letupan berhampiran konvoi MALBATT 850-12, sekitar jam 1.54 tengah hari semalam (7.54 petang waktu tempatan), Markas ATM memaklumkan semua enam anggota yang dilaporkan tercedera selamat berada di Kem Marakah, Lubnan.

“Konvoi MALBATT 850-12, yang berlepas dari Malaysia, Rabu lalu, selamat tiba di Kem Marakah, pada jam 5.30 petang semalam, waktu Lubnan, bersama-sama lima yang mengalami cedera ringan dalam kejadian letupan di Beirut.

“Seorang lagi anggota MALBATT 850-12 yang dikejarkan ke Hospital Hamood selepas cedera pada tangan turut sudah dibenarkan keluar jam 12 .01 pagi waktu Lubnan dan kini sudah berada di kem, ” katanya.

Mengulas lanjut, katanya, pada masa ini rawatan susulan pada anggota yang mengalami kecederaan akan diteruskan oleh pegawai perubatan MALBATT 850 di Kem Marakah dan akan meneruskan tugasan apabila pulih sepenuhnya.

Pada masa ini, UNIFIL sedang menyiasat kejadian serangan yang berlaku di pusat pemeriksaan Pasukan Tentera Lubnan (LAF), berdekatan Stadium Saida, yang membabitkan konvoi MALBATT 850-12.

Kejadian berlaku ketika konvoi MALBATT 850-12 sedang bergerak dari Beirut menuju ke Kem Marakah.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini