Tumpuan :
Nasional

Pertikai tugas polis, lelaki warga Myanmar ditahan

Foto hiasan

SUBANG JAYA: Seorang lelaki warga Myanmar ditahan selepas enggan diperiksa dan tidak memberi kerjasama ketika anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) Hotspot Balai Polis Subang Jaya menjalankan tugas, kelmarin.

Dalam kejadian jam 2 pagi itu, anggota URB yang sedang menjalankan rondaan di sekitar Jalan SS15/4E, di sini, melihat suspek duduk berhampiran hadapan deretan kedai dalam keadaan mencurigakan.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, anggota polis meminta lelaki itu mengemukakan pengenalan diri untuk membuat pemeriksaan tetapi dia enggan memberi kerjasama serta mempertikaikan anggota polis yang ingin melakukan pemeriksaan.

“Susulan itu, polis kemudian menahan suspek dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya untuk tindakan selanjutnya.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan,” katanya kepada Harian Metro hari ini.

Beliau berkata, orang awam dinasihati tidak melakukan kesalahan yang sama bagi mengelak dikenakan tindakan undang-undang.

“Kesalahan menghalang penjawat awam mengikut 186 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini