Tumpuan :
Nasional

‘Pertengkaran kali ini luar biasa’ – Jiran suami isteri dibunuh anak kandung  

Anggota polis mengangkat mayat suami isteri warga emas yang dipercayai ditikam oleh anaknya sendiri di Kampung Sungai Penchala, malam tadi. – Foto: NSTP

KUALA LUMPUR: Jiran kepada pasangan suami isteri warga emas yang dipercayai dibunuh anak sendiri di sebuah rumah di Jalan Penchala Hilir 6, Sungai Penchala malam tadi, mengakui penduduk setempat  kerap mendengar pertengkaran di antara suspek dengan ibu bapanya.

Dia yang enggan dikenali bagaimanapun berkata, pertengkaran kali ini luar biasa.

“Tapi pertengkaran kali ini kami dengar agak luar biasa. Terdengar suara jeritan serta bunyi seperti kaca pecah.

“Jiran sebelah rumah (mangsa) mungkin rasa tidak sedap hati terus keluar memanggil anak bongsu mangsa yang tinggal tidak jauh daripada mereka.

“Bila anak bongsu mangsa sampai di depan rumah, nampak suspek menutup pintu pagar dan bila ditanya mana adiknya, mak dan ayah, suspek jawab mereka ada dalam rumah.

“Selepas itu, kami dengar jeritan meminta tolong dan suara adik suspek meraung. Abangnya pula melarikan diri ke kawasan hutan di sebelah belakang kawasan ini,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, malam tadi.

Difahamkan, suspek berusia 42 tahun ialah anak ketiga daripada empat beradik, masih belum berkahwin dan tidak bekerja.

Menurutnya, sebaik saja penduduk mengetahui kejadian itu, mereka beramai-ramai membantu polis untuk mencari suspek yang ditangkap ketika bersembunyi di Terowong Penchala, kira-kira jam 10.30 malam.

Seorang lagi jiran yang enggan dikenali memaklumkan, penduduk kawasan kejiranan di sini kebanyakannya penyewa rumah yang dimiliki pasangan suami isteri itu.

“Tak sangka Pak Ngah dan Mak Ngah dah tak ada. Kami semua berasa amat sedih kerana mereka berdua sudah umpama keluarga.

“Mereka berdua orang yang sangat baik, mesra serta lemah lembut. Kami panggil mereka Pak Ngah dan Mak Ngah. Penyewa di sini sudah dianggap seperti keluarga mereka.

“Kami semua bersedih dan tak sangka kejadian seperti ini boleh berlaku ke atas mereka. Kami dah anggap mereka berdua macam ibu bapa kami sendiri,” katanya.

Ujarnya, suspek mempunyai masalah ketagihan dadah dan baru beberapa hari dijamin keluar oleh keluarganya selepas ditahan polis.

Terdahulu, Buletin TV3 melaporkan, sepasang suami isteri ditemui maut dipercayai ditikam anak lelaki kandung dalam pergaduhan di rumah mereka di Kampung Sungai Penchala di sini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira 7 malam itu, mayat pasangan warga emas berusia 72 dan 82 tahun terbabit ditemui terbaring berlumuran darah di ruang tamu rumah.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid yang mengesahkan kejadian itu berkata, kedua-dua mangsa berusia 72 dan 82 tahun.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini