comscore
Tumpuan :
Nasional

Persidangan Keselamatan dianjur 2 September, kupas isu keselamatan negara

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan menganjurkan Persidangan Keselamatan pada 2 September ini bagi mengupas isu-isu keselamatan yang membelenggu negara, seiring perubahan zaman dan aktiviti jenayah.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, sebanyak 27 pembentangan daripada ahli akademik, pakar perundangan dan pegawai tinggi kerajaan dalam persidangan sehari yang berlangsung di sini, dengan penyertaan lebih 800 peserta.

Antara tajuk pembentangan adalah jenayah rentas sempadan, ketibaan pendatang asing tanpa izin (PATI), isu jenayah narkotik, jenayah siber dan penipuan kewangan.

“Harapan kami adalah persidangan akan berakhir dengan resolusi dan resolusi itu nanti saya harap dapat diangkat kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN). Saya dah adakan rundingan dengan Ketua Pengarah MKN untuk KDN angkat beberapa cadangan (hasil resolusi persidangan nanti),” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan KDN dan sambutan Hari Kebangsaan Tahun 2024, di sini hari ini.

Menerusi resolusi persidangan tersebut, Saifuddin berharap ia menjadi panduan kepada kerajaan dalam memperuntukkan sumber dan dana mengikut keutamaan bagi memerangi ancaman jenayah di negara ini.

“Kalau kita tengok amalan beberapa negara luar, misalnya Amerika Syarikat, mereka ada masalah pelarian, dadah, penggunaan senjata tanpa lesen, tetapi keutamaannya adalah keganasan dan pembiayaan keganasan.

“Kalau kita tengok sebahagian negara Timur Tengah, (keutamaan) keganasan dan pembiayaan keganasan manakala di China keutamaan pada penipuan kewangan.

“Kita banyak juga (kes) pancing data haram (illegal phishing), penyeludupan. Jadi persidangan ini nanti KDN akan dapat ketengahkan cadangan kami dalam soal keselamatan negara.

“Kita boleh susun ikut urutan keutamaan yang hasilnya nanti, seluruh sumber, perbelanjaan dapat kita berikan keutamaan kepada memerangi topik jenayah yang akan kami angkat,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini