
KUCHING: Persiapan Aidilfitri tujuh keluarga di Kampung Tabuan Melayu, di sini, musnah selepas kediaman mereka hangus dalam kebakaran menjelang waktu berbuka puasa semalam.
Meskipun bersyukur semua penghuni selamat dalam kejadian yang berlaku pada jam 5.45 petang itu, mangsa terkilan kerana tiada barangan yang dapat diselamatkan.
Lebih menyedihkan semua persiapan menyambut Aidilfitri yang dibeli sejak hujung tahun lalu musnah sekelip mata.
Seorang mangsa, Hamsiah Ali Hassan, 36, berkata, mereka sekeluarga memang teruja menyambut Aidilfitri tahun ini sehingga sanggup membeli set sofa secara ansuran sejak tahun lalu.
Pekerja kilang tepung itu berkata, beliau gembira kerana berjaya melunaskan semua hutang sofa itu hujung tahun lalu dan lega kerana tidak akan dibebani hutang pada Aidilfitri kali ini.
“Rupa-rupanya kegembiraan saya tidak lama, apabila rumah dengan segala isinya musnah dalam kebakaran itu.
“Kami orang susah, sebab itu saya membeli sofa secara ansuran sejak tahun lalu, dengan harapan raya tahun ini dapatlah beraya dengan sofa baharu seperti orang lain,” katanya ketika ditemui di pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, Kampung Tabuan Melayu, di sini, hari ini.
Hamsiah berkata, baju raya untuk dua anaknya yang berusia sembilan dan 11 tahun juga sudah disediakan, masing-masing empat pasang seorang.
“Biasalah kita di Sarawak mesti berbaju Melayu sepanjang Aidilfitri dan saya mampu menyediakan empat pasang seorang untuk dua anak, seorang lelaki dan seorang perempuan.
“Saya beli awal sebab tidak mahu terbeban di saat akhir kerana kemampuan kewangan kami amat terhad kerana saya dan suami sama-sama sekadar kerja kilang.
“Namun, memang amat menyedihkan apabila semua baju anak yang saya beli selepas mengumpul wang dengan berbelanja secara cermat itu sudah tiada lagi,” katanya.
Sementara itu, bapanya, Ali Hassan Suhaibol, 76, pula berkata, beliau hanya sempat mencapai beg mengandungi ubat-ubatan ketika menyelamatkan diri dalam kebakaran.
“Hanya ubat itu yang sempat saya selamatkan. Saya bergantung kepada ubat kerana menghidap penyakit darah tinggi dan kolestrol.” ujarnya.
Seramai 34 mangsa daripada 10 keluarga yang tinggal di empat rumah terbabit dalam kejadian itu.
Dua daripada rumah yang didiami 22 penghuni daripada tujuh keluarga musnah sepenuhnya manakala dua rumah lagi terbakar antara 10 hingga 30 peratus.
Kejadian itu adalah yang kedua berlaku di kampung yang sama selepas 2010 yang memusnah 11 rumah dalam kebakaran yang berlaku 15 hari menjelang sambutan Aidilfitri.
Sementara itu, tinjauan di lokasi kejadian hari ini mendapati anggota Unit Forensik Kebakaran, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sedang menjalankan siasatan untuk mengenal pasti punca kejadian.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.