Tumpuan :
Nasional

Persiapan hadapi MTL: Cuti 8,000 kakitangan awam di Pahang dibeku

Cuti kira-kira 8,000 kakitangan awam Pahang dibekukan bagi menghadapi Monsun Timur Laut. – Foto NSTP

KUANTAN: Cuti kira-kira 8,000 kakitangan awam di Pahang dibekukan sebagai persiapan menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) yang kini telah bermula.

Kenyataan yang dikeluarkan kelmarin, menyebut kerajaan Pahang membekukan cuti kakitangan awam bermula 25 November hingga 15 Januari 2025.

Keputusan berkenaan bagi memastikan kesiapsiagaan sepenuhnya dalam menghadapi sebarang kemungkinan bencana banjir yang boleh berlaku pada bila-bila masa.

Pahang telah memasuki fasa Monsun Timur Laut bermula 5 November lalu dan berterusan hingga Mac tahun depan.

Sehubungan itu, penjawat awam yang berhasrat untuk memohon cuti rehat termasuk mengikuti latihan, lawatan ke luar daerah dan negeri hendaklah mendapatkan kelulusan khas daripada Setiausaha Kerajaan Negeri.

Pembekuan cuti ini dilaksanakan bagi memastikan tahap kesiapsiagaan dan operasi pengurusan bencana berada di tahap optimum sepanjang tempoh Monsun Timur Laut serta bersedia untuk dipanggil bertugas apabila diarahkan sedemikian.

Rata-rata kakitangan awam yang ditemui berpendapat keputusan kerajaan negeri membekukan cuti dianggap sebagai persediaan menghadapi Monsun Timur Laut yang boleh menyebabkan berlaku kejadian banjir.

Kerajaan negeri sentiasa memberi perhatian dan memikirkan nasib kakitangan awam yang menjadi tulang belakang pada kemajuan serta kemakmuran negeri ini.

Walaupun terpaksa mengubah rancangan yang telah dirancang, namun demi arahan kami tetap akur dan sentiasa berdoa episod banjir besar tidak berlaku pada musim tengkujuh tahun ini.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini