KOTA BHARU: Hujan berterusan sejak semalam, sehingga sembilan daerah di negeri ini dilanda banjir, menyebabkan proses persekolahan hari ini, tergendala.
Tinjauan di beberapa sekolah di Kota Bharu dan Pasir Mas, terutama membabitkan sekolah kebangsaan, mendapati pihak sekolah terpaksa meminta ibu bapa mengambil anak masing-masing lebih awal iaitu jam 11 pagi.
Ia berikutan ramai guru dikatakan tidak dapat hadir ke sekolah disebabkan kediaman masing-masing dilanda banjir selain ada kawasan yang terkepung banjir.
Sesi persekolahan hari ini, sepatutnya berakhir jam 1.15 tengah hari, namun pihak sekolah terpaksa memberi pelepasan kepada murid untuk pulang lebih awal.
Hafizah Ismail, 40, berkata, dia menghantar anaknya ke sekolah di sekitar Kota Bharu jam 7.30 pagi, namun beberapa jam kemudian, pihak sekolah memintanya menjemput anak kerana murid dibenarkan pulang lebih awal.
“Pihak sekolah memaklumkan, ramai guru tersekat akibat banjir pagi ini, disebabkan hujan masih berterusan,” katanya.
Setakat jam 10.30 pagi ini, 3,556 mangsa banjir dipindahkan ke 57 pusat pemindahan sementara (PPS) di sembilan daerah.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.