PETALING JAYA: Persediaan Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN 2025 dalam konteks ekonomi serta cabaran geopolitik semasa menjadi tumpuan sidang Dewan Rakyat hari ini.
Menurut aturan urusan mesyuarat ketiga di portal parlimen, hala tuju kepengerusian ASEAN 2025 termasuk hasil lawatan Malaysia ke Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 lalu akan ditanyakan Ahli Parlimen Gombak, Datuk Seri Amirudin Shari kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Selain itu, Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari dalam sesi pertanyaan-pertanyaan menteri meminta Perdana Menteri menjelaskan adakah kerajaan bakal mengambil tindakan perundangan terhadap agensi berita antarabangsa, berhubung dakwaan campur tangan Perdana Menteri dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Turut menjadi tumpuan, Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Mohd Shahar Abdullah pada sesi soal jawab lisan yang meminta Menteri Ekonomi menyatakan perancangan kerajaan untuk merangsang pertumbuhan dalam sektor berkemahiran tinggi.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Mohmed Puzi Sh Ali meminta Menteri Kerja Raya menyatakan perancangan kerajaan dalam melaksanakan reformasi dasar cerun negara yang lebih proaktif sebagai usaha mengurangkan kejadian seperti tanah runtuh.
Selesai sesi pertanyaan menteri, persidangan diteruskan dengan pembentangan dua rang undang-undang bacaan kali pertama iaitu Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2025 oleh Menteri Kewangan dan RUU Majlis Perundingan Gaji Negara (pindaan) 2024 oleh Menteri Sumber Manusia.
Selain itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri akan mencadangkan Dewan Rakyat menyokong kerajaan agar dapatan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) dan syor yang terkandung dalam laporan itu dapat diambil tindakan sewajarnya oleh pihak terbabit.
Dewan Rakyat akan menyambung semula perbahasan RUU Perlembagaan (pindaan) 2024 bertujuan menurunkan had umur untuk memohon kewarganegaraan daripada umur 21 tahun kepada 18 tahun.
Mesyuarat ketiga penggal ketiga Parlimen ke-15 berlangsung selama 35 hari hingga 12 Disember depan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.