comscore
Tumpuan :
Nasional

Persahabatan Agong, Presiden UAE bantu pertingkatkan hubungan Malaysia-UAE

Hubungan dua hala antara UAE dan Malaysia terus kekal utuh atas hubungan baik luar biasa antara Sheikh Mohamed Zayed dan Al-Sultan Abdullah. –  FOTO: Istana Negara/ Facebook 

KUALA LUMPUR: Hubungan dua hala antara Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Malaysia terus kekal utuh, terima kasih atas hubungan baik luar biasa antara Presiden UAE, Sheikh Mohamed Zayed Al Nahyan dan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Hubungan erat itu sudah terjalin sejak menyertai latihan ketenteraan di Royal Military Academy Sandhurst (RMAS) di United Kingdom pada akhir 1970-an.

Al-Sultan Abdullah dan Sheikh Mohamed Zayed Al Nahyan adalah rakan kolej pada tahun 1978 dan 1979 dan persahabatan itu kekal sehingga kini. Ini terbukti apabila Presiden UAE mengadakan lawatan ke Malaysia atas undangan Seri Paduka sempena istiadat pertabalan baginda pada 30 Julai 2019.

Usaha untuk mengukuhkan hubungan dua hala ke tahap lebih tinggi diteruskan dengan lawatan khas putera sulung Sheikh Mohamed Zayed iaitu Sheikh Khaled bin Mohamed bin Zayed Al Nahyan dari 21 hingga 24 Mei.

Felow kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR), Prof Dr Azmi Hassan, berkata hubungan istimewa antara kedua-dua kerabat diraja itu bukan sahaja memupuk hubungan peribadi yang mendalam tetapi juga meletakkan asas kukuh untuk kerjasama yang meluas, menghasilkan pelbagai manfaat bersama buat kedua-dua negara.

“Hubungan Malaysia dan UAE sangat istimewa memandangkan Agong dan presiden UAE sekarang berkawan rapat kerana kedua-dua kerabat diraja pernah menjalani latihan ketenteraan di RMAS dari 1978-79 ketika kedua-duanya menjadi putera mahkota dan hubungan istimewa itu terus bertambah kukuh selepas itu,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata, lawatan khas tujuh hari Seri Paduka ke UAE baru-baru ini, yang bermula 24 Februari tahun ini dan pertemuan dengan Syeikh Mohammed Zayed membuktikan betapa eratnya hubungan UAE dan Malaysia, contohnya komitmen bersama untuk mengukuhkan kerjasama diplomatik, ekonomi dan budaya.

Pada Disember 2022, Seri Paduka berkenan mengadakan dalam lawatan khas empat hari ke Abu Dhabi atas undangan presiden UAE. Terdahulu pada tahun 2019, Al-Sultan Abdullah turut berkenan melawat UAE.

Azmi berkata, hubungan istimewa yang dikongsi oleh dua kerabat diraja itu telah menyaksikan kerajaan UAE menawarkan vaksin COVID-19 kepada Malaysia, sekali gus melambangkan kekukuhan hubungan UAE-Malaysia.

Beliau berkata, UAE turut menyumbang satu juta dos vaksin COVID-19 pada 2021, membantu usaha Malaysia untuk memerangi pandemik itu.

Ahli geostrategi itu berkata, langkah berkenaan menjadi isyarat penting yang bukan sahaja mempamerkan solidariti UAE dengan Malaysia tetapi mengukuhkan lagi ikatan antara kedua-dua negara dalam menghadapi cabaran global.

Selain sumbangan vaksin, pesawat angkatan tentera UAE turut menyertai operasi mencari pesawat MH370 yang hilang bersama 239 penumpang pada 8 Mei 2014, selain memberikan sokongan padu kepada Malaysia semasa krisis dengan membantu Malaysia dalam misi kemanusiaan di Syria untuk membantu mangsa gempa bumi.

Azmi berkata, sumbangan 250 tan bantuan kemanusiaan dalam bentuk pelbagai keperluan kepada mangsa banjir di Malaysia pada minggu pertama tahun 2022 menunjukkan komitmen UAE untuk membantu meringankan penderitaan yang dihadapi akibat bencana alam.

“Semua ini menunjukkan bahawa hubungan rapat peribadi antara Agong dan presiden UAE telah diterjemahkan dengan kedua-dua negara saling membantu satu sama lain tatkala krisis dan detik sukar,” katanya.

Beliau berkata, UAE ialah rakan dagang terbesar Malaysia di Timur Tengah dan Asia Barat dan percaya kedudukan itu boleh ditingkatkan lagi dengan membuktikan bahawa Malaysia boleh menjadi hab untuk UAE menjangkau sembilan negara anggota ASEAN lain yang mempunyai populasi 600 juta pengguna.

Azmi berkata, melalui Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) dan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP), Malaysia boleh menggunakan kedudukannya sebagai hab perdagangan dan pelaburan UAE.

Pada 2022, UAE muncul sebagai destinasi eksport kedua terbesar Malaysia dan sumber import kedua terbesar dalam kalangan negara Asia Barat, menurut Kementerian Luar.

Dari Januari hingga Oktober 2022, jumlah dagangan dengan UAE meningkat 79.2 peratus kepada RM32.57 bilion (AS$7.43 bilion) berbanding RM18.18 bilion (AS$4.40 bilion) bagi tempoh yang sama pada 2021.

Mengenai lawatan Sheikh Khaled, kenyataan Kementerian Luar Malaysia memaklumkan bahawa ia kunjungan pertama baginda ke Malaysia sejak dilantik sebagai Putera Mahkota Abu Dhabi dan Pengerusi Majlis Eksekutif Abu Dhabi pada 29 Mac tahun ini.

Putera Mahkota itu dijangka mengadakan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada esok (22 Mei) dan menghadap Al-Sultan Abdullah pada 23 Mei ini.

Lawatan Khas itu bakal mengukuhkan lagi jalinan hubungan dengan UAE yang telah dinaik taraf kepada Perkongsian Strategik pada 27 September 2022. – BERNAMA

Loading...
Terkini